Maszlee bidas Asyraf Wajdi isu buku teks Sejarah
JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) berhubung buku teks Sejarah Tingkatan Empat didakwa dimanipulasikan dan mengagung-agungkan komunis.
Maszlee berkata, tuduhan Dr Asyraf Wajdi tidak tepat sama sekali bahawa sukatan dan silibus mata pelajaran Sejarah diluluskan semasa pentadbiran PH sebaliknya dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah.
Katanya yang menerajui kementerian itu selama 20 bulan pada Mei 2018 dan meletak jawatan pada 3 Januari 2020, proses menggubal Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sesuatu subjek memerlukan proses yang panjang dan dijadualkan secara teratur.
"Untuk pengetahuan Dr Asyraf Wajdi, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada tahun 2014 dan dilaksanakan pada tahun 2017 bermula dengan pelajar Tingkatan Satu.
"Ini bererti, kohort pelajar Tingkatan Satu pada 2017 akan memasuki Tingkatan Empat pada tahun 2020. KSSM ini sebenarnya diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989.
"Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada tahun 2017 ketika Menteri Pendidikan daripada parti UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan Empat KSSM.
Menurut beliau, perkara itu seperti usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dan secara halus menyucikan pemikiran pelajar.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, tuduhan Asyraf Wajdi itu bersifat melulu, komen kosong, tanpa usul periksa dan menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum.
Beliau menjelaskan, mustahil PH melakukan semua proses itu dalam masa setahun lebih memerintah kerana proses penggubalan kurikulum sebenarnya mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan panel pakar berpengalaman dalam subjek Sejarah.
"Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran Sejarah," katanya.
Lebih tepat katanya, Asyraf Wajdi perlu bertanya kepada pakar tersebut sebelum menuduh beliau dan PH secara membuta tuli apatah lagi beliau kini berada dalam kerajaan untuk membangkitkan isu itu.
"Kesemua pakar yang diletakkan penghargaan di muka depan buku teks itu merupakan pakar Sejarah di negara ini dan sebahagiannya dikenali memang rapat dan condong kepada parti UMNO," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!