Menteri Luar Myanmar bertemu rakan sejawatan dari Thailand, Indonesia

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Menteri Luar junta Myanmar, Wunna Maung Lwin, tiba di Bangkok dan berunding dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Indonesia pada Rabu mengenai situasi terkini politik sejak rampasan kuasa tentera di negara itu.

Wunna Maung Lwin, bertemu dengan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai diikuti Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. Wunna Maung Lwin turut bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha.

Laman web bahasa Inggeris, The Nation, memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, Prayuth dan Wunna Maung Lwin bertemu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand, di Don Mueng selama sejam dan menumpukan rundingan mengenai masalah politik dan bantahan di Myanmar.

Ditanya mengenai perkara itu, Prayuth - bekas panglima tentera yang merampas kuasa pada 2014, berkata:

"Sesetengah perkara biarlah kekal tidak rasmi... sebagai negara jiran, kita perlu saling mendengar antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pemberita.

Wunna Maung Lwin, bertemu Retno Marsudi yang singgah di Bangkok pada Rabu pagi ketika dalam rangka lawatan ke negara-negara ASEAN, mencadangkan mesyuarat menteri luar khas mengenai krisis politik di Myanmar.

Media Indonesia memetik jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah sebagai berkata, Retno sebelum ini membatalkan lawatan ke Myanmar dan pegawai itu berkata, ia dibatalkan kerana menyifatkan kunjungan itu tidak pada 'waktu yang sesuai'.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar Thailand, Don dalam pertemuannya dengan Retno bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama Covid-19 dan usaha meningkatkan kerjasama serantau.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga menegaskan bahawa Myanmar adalah anggota penting dalam keluarga ASEAN.

"Pertubuhan serantau itu boleh menjadi pentas dialog konstruktif untuk Myanmar dengan negara anggota ASEAN lain sejajar dengan prinsip dan matlamat Piagam ASEAN dan demi kebaikan rakyat negara itu," menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!