Skuad boling negara teruja sambung latihan

Siti Safiyah antara pemain tenpin boling negara yang kembali menjalani latihan pada Rabu. - Foto Bernama
Siti Safiyah antara pemain tenpin boling negara yang kembali menjalani latihan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD tenpin boling negara yang dibenarkan menjalani semula latihan secara kuarantin teruja dapat berbuat demikian di Sunway Megalanes bermula pada Rabu.

Bagaimanapun, selepas lebih sebulan tidak memegang bola boling susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 sejak 13 Januari lalu, pemain berpengalaman, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mengakui agak kekok ketika kembali memulakan latihan.

Atlet berusia 30 tahun yang merupakan anggota pasukan yang muncul juara pada Kejohanan Dunia 2017 itu turut berharap tiada lagi 'gangguan' dalam latihan yang dapat menjejaskan momentum pasukan.

“Saya rasa kekok sedikit sebab dah lama tak main boling, jari semua dah kecut. Harapnya kali ini saya dapat teruskan latihan tanpa berhenti lagi selepas ini,” katanya menerusi klip video yang dikongsi oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

Bernama semalam melaporkan skuad boling negara mendapat lampu hijau untuk kembali berlatih dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat menerusi pendekatan gelembung sukan bagi mengekang penularan Covid-19.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, skuad dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu 19 atlet menjalani latihan dengan kuarantin di rumah, manakala 16 menetap di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, dengan kedua-dua kumpulan itu menjalani latihan pada waktu berlainan dan tidak bertembung antara satu sama lain.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara perseorangan lelaki dan 'All-Event' Kejohanan Tenpin Boling Asia 2019, Timmy Tan tidak sabar menerima “sentuhan” barisan jurulatih yang diketuai oleh Holloway Cheah untuk meningkatkan prestasinya.

“Saya rasa seronok dapat kembali, tidak sabar untuk menerima bimbingan jurulatih bagi meningkatkan prestasi saya sebab dah lama berhenti,” katanya yang meraih pingat emas perseorangan dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2019.

Artikel Berkaitan:

Juara Kejohanan Remaja Asia 2015, Nora Lyana Nastasia Norkamal pula berharap pertandingan dapat dianjurkan dalam masa terdekat supaya beliau dapat mengukur prestasinya.

“Saya amat teruja dapat jejak kaki semula ke arena boling dan berjumpa rakan-rakan sepasukan. Saya berharap latihan pasukan dapat diteruskan seperti biasa dan pertandingan dapat dilangsungkan dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Skuad boling negara kembali berlatih esok

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!