Pulau Pinang akan laksana langkah bersasar terhadap kilang
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang mungkin akan melaksanakan langkah secara bersasar terhadap kilang bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat dan dapat meratakan keluk Covid-19.
Menurut statistik Jabatan Kesihatan negeri, sektor industri itu menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 di Pulau Pinang, diikuti kluster penjara (16 peratus) dan pembinaan (empat peratus).
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, walaupun sektor industri itu menyumbangkan kebanyakan kes Covid-19 di negeri ini, ia tidak mencerminkan keseluruhan industri tersebut memandangkan kes berkisar membabitkan kilang yang bergelut untuk membendung pandemik itu.
Pihak pengurusan kilang berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pematuhan ketat SOP untuk menghentikan penularannya sekarang. Jika keadaan kilang ini tidak bertambah baik, Kerajaan Negeri mungkin akan meneroka langkah-langkah secara bersasar untuk memastikan kerjasama mereka,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, sektor peruncitan dan hospitaliti termasuk peniaga kecil dan usahawan mikro, adalah antara yang paling teruk terjejas akibat sekatan kawalan pergerakan, walaupun menyumbangkan peratusan kecil kes.
Abdul Halim menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan negeri mengamalkan pendekatan secara bersasar dan memberi tumpuan kepada kilang-kilang yang masih menyesuaikan diri dengan SOP.
“Kami percaya MKN, Jabatan Kesihatan negeri dan kedua-dua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP - Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan MPSP - Majlis Perbandaran Seberang Perai) akan dapat membantu jika kilang-kilang ini memerlukan bantuan untuk meratakan keluk dan mengurangkan kes berulang berterusan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung juga memberitahu, beliau telah melawat asrama pekerja di Solok Beringin, selepas pekerja asing Indonesia mengadakan demonstrasi aman pada 20 Februari lepas.
Kira-kira 150 penunjuk perasaan di asrama pekerja itu tidak berpuas hati kerana tidak dapat keluar dari kawasan asrama selain ke kilang masing-masing.
Abdul Halim berkata, beliau telah menghubungi Konsulat Jeneral Indonesia Bapak Bambang Suharto berhubung isu itu bagi menenangkan keadaan.
“Pada 21 Februari wakil Konsulat Jeneral juga hadir di tempat kejadian untuk berbincang dengan wakil majikan dan pengurusan asrama bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!