Cadang media antara terawal disuntik vaksin Covid-19
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mencadangkan pengamal media antara kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, golongan itu juga berisiko kerana selalu bertemu dengan masyarakat ketika menjalankan tugas harian.
"Saya cadangkan wartawan dahulu disuntik vaksin kerana pergerakan mereka membabitkan banyak tempat. Saya pun takut nak jumpa," selorohnya kepada pemberita pada Rabu selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan.
Mohd Amar berkata, kepimpinan kerajaan negeri bersedia menerima suntikan setelah vaksin terbabit sampai ke negeri ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini pihaknya tidak mengetahui jumlah keseluruhan vaksin yang bakal diterima di Kelantan.
Pada Rabu, seramai dua pegawai dan 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berlepas ke Kuala Lumpur bagi mengambil bekalan vaksin.
Ia dikhaskan untuk 3,922 anggota termasuk pegawai polis Kelantan dan akan menerima suntikan bermula akhir minggu ini dan dijangka tiba di negeri ini kira-kira jam 5 petang pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!