Kita melenting sebab tiada ilmu
ADIBAH Noor, 50, satu nama yang cukup sinonim dengan dunia nyanyian dan pengacaraan, malah personaliti hiburan itu juga berbakat dalam bidang lakonan.
Terlibat dalam dunia seni dan pengacaraan sejak tahun 1995, kemunculannya di depan lensa kamera seringkali tidak menghampakan para peminat.
Namun baru-baru ini kecoh di media sosial apabila Adibah yang juga merupakan seorang bekas guru Bahasa Inggeris menegur secara terbuka sebutan perkataan doubt yang disebut oleh seorang menteri.
Teguran tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya. Ada yang menerima secara terbuka dan ada juga yang kurang senang. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Liza Mokhtar bersama Adibah.
SINAR HARIAN: Hanya kerana membetulkan sebutan bahasa Inggeris seorang menteri tempoh hari, netizen tampil dengan pelbagai reaksi dan komen di media sosial. Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang kurang senang dengan teguran itu. Bagaimana Adibah melihat situasi berkenaan?
ADIBAH: Terpulanglah. Kalau mahu terima, boleh terima. Kalau tidak mahu terima tidak mengapa. Adakah kita akan menjadi individu yang menerima sesuatu ilmu secara terbuka atau adakah kita memilih untuk menjadi individu yang membuat pelbagai alasan asalkan kekurangan diri kita tidak terserlah.
Adakah Adibah menerima sebarang respons daripada pihak menteri itu sendiri berhubung teguran tersebut?
Saya tidak menerima apa-apa respons daripada pihak menteri tersebut dan saya tidak mengharapkan apa-apa respons.
Ada yang mengatakan tidak perlu sebenarnya kita terlalu sempurna dalam mempraktikkan bahasa Inggeris, lihat sahaja negara Jepun yang disegani seluruh dunia walaupun majoriti rakyatnya tidak menguasai bahasa antarabangsa itu. Apa komen Adibah?
Benar bahasa apa sekalipun boleh menjadi bahasa ilmu termasuklah bahasa kebangsaan kita tetapi mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan adalah ilmu.
Macam mana kita belajar Matematik. Macam mana kita belajar Kimia. Macam mana kita belajar politik. Macam mana kita belajar Sejarah dan macam-macam subjek lagi begitulah juga mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ia adalah salah satu cabang ilmu.
Kalau misalnya kita selesa dengan keadaan seadanya dengan penguasaan satu bahasa sahaja, dengan penguasaan dan pemahaman ilmu setakat mana yang kita ada, kita berpuas hati dengan kehidupan itu, dengan tahap yang sedemikian, silakan.
Tetapi sebagai manusia, kita seringkali dituntut untuk mencari ilmu. Jadi apa salahnya kalau kita cari ilmu.
Kenapa kita tidak perhebatkan diri lagi dan Insya-ALLAH pintu rezeki itu akan terbuka lebih luas.
Contohnya, kalau saya ini seorang pengacara majlis yang hanya menguasai satu bahasa mungkin kerja-kerja yang saya dapat adalah mengacara majlis-majlis yang hanya memerlukan saya berbahasa Melayu.
Kalau kita sudah selesa di tahap itu tidak salah langsung tetapi saya cabar diri saya untuk memperhebatkan fahaman dan penguasaan saya dalam bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris.
Alhamdulillah bukan sahaja saya dapat mengacarakan majlis yang memerlukan saya berbahasa Melayu malah saya juga dapat kerja-kerja mengacarakan majlis dan program yang memerlukan saya bertutur dalam bahasa Inggeris.
Apa salahnya, pintu rezeki kita mungkin terbuka lebih luas lagi kalau kita ada sesuatu ilmu yang kita kuasai tidak kiralah bahasa atau mata pelajaran lain.
Di sebalik ‘kekecohan’ teguran tersebut, adakah ia memperlihatkan sikap rakyat Malaysia ini cepat melenting sekiranya ditegur atau terpulang kepada penerimaan masing-masing terhadap sesuatu teguran itu?
Kadang-kadang, kita cepat melenting sebab apa? Sebab bila kita tiada sesuatu ilmu, kita tiada pengetahuan, kita tiada sesuatu benda itu kadang-kadang ego kita ini mahu menutup segala benda yang malu kita nak tunjuk.
Malu nak tunjuk kita tiada benda itu tetapi kita memilih untuk memburukkan orang yang membetulkan. Memburukkan orang yang ada ilmu itu. Jadi semua ini terpulang kepada individu.
Kalau kita terima daripada perspektif pembelajaran walaupun awak tidak suka cara saya buat tetapi terima ilmu itu maka awak tetap akan terima secara positif.
Tetapi kalau kita memilih untuk melihat ia dari segi, ‘eh awak ingat hebat sangat cakap bahasa Inggeris’ maka selama-lamanya kita akan jadi begitu. Pilihan terletak di tangan kita.
Berhubung program tv pendidikan, pada pandangan Adibah, perlukah guru yang mengendalikan sesebuah program tv pendidikan itu terutama subjek yang menggunakan bahasa Inggeris untuk menguasai sepenuhnya bahasa itu bagi memastikan isi pembelajaran dapat disampaikan dengan baik?
Sebelum menghasilkan sesuatu program, harus ada perancangan yang sangat teliti. Tidak kira program apa sekalipun program pembelajaran, program hiburan, program bual bicara dan sebagainya kita harus ada perancangan teliti yang diberikan kepada satu pasukan yang berpengetahuan, pasukan yang mampu menghasilkan sesuatu produksi.
Kita tidak boleh harapkan seorang guru itu untuk melakukan segala-galanya. Sepatutnya ada sistem sokongan, ada penulis skrip, ada orang yang memantau bahasa, ada orang memantau kebolehan perantara, ada orang memantau rekaan grafik dan sebagainya.
Pengisian program itu seharusnya bermula di meja mesyuarat di mana kita boleh berkongsi idea dan cara terbaik menyampaikan sesuatu perkara di hadapan lensa kamera.
Mesti ada perancangan teliti dan mesti ada pemilihan siapakah perantara yang terbaik untuk menyampaikannya.
Berkenaan tawaran Adibah untuk mengajar Bahasa Inggeris di DidikTV, adakah ia dibuat berikutan rasa terpanggil untuk kembali mengajar atau bagaimana?
Saya cuma menawarkan diri sahaja. Saya menawarkan diri untuk kita sama-sama berbincang, untuk kita sama-sama mencetuskan idea tentang cara terbaik untuk menyampaikan sesuatu pembelajaran, program dan sebagainya.
Saya menawarkan diri untuk menjadi perantara atau guru bahasa Inggeris di platform sedemikian.
Bukan untuk ‘sailang’ kerja, saya tidak perlu berada di depan lensa kamera pun mungkin boleh cari guru yang lebih baik dan jauh lebih berkaliber daripada saya. Saya cuma menawarkan diri untuk kita sama-sama cari jalan terbaik demi pendidikan anak-anak.
Umum tahu Adibah sering membetulkan sebutan bahasa Inggeris menerusi video, pernahkah Adibah berasa putus asa untuk berbuat demikian disebabkan respons kurang menyenangkan yang diterima selepas membuat teguran?
Saya tidak akan berputus asa. Mana yang saya terpanggil untuk betulkan saya akan buat.
Sebenarnya saya tidak sehebat mana, penguasaan bahasa Inggeris saya pun semakin 'karat' sebenarnya tetapi apa yang saya tahu, saya boleh kongsi.
Kalau mahu katakan saya terkesan dengan komen-komen negatif yang menjurus ke arah kecaman, kalau teguran kita boleh terima, sebenarnya kurang daripada lima peratus dibandingkan dengan respons positif yang saya dapat.
Kira-kira 95 peratus yang saya terima adalah galakan dan dorongan untuk saya teruskan usaha saya malah ramai yang meminta saya mengajar anak-anak mereka secara peribadi.
Ramai ibu bapa yang bertanya, kalau saya boleh datang dan ajar anak mereka. Maknanya apa? Maknanya sudah ada kesedaran dalam kalangan ibu bapa secara menyeluruh bahawa anak-anak mereka perlu mahir menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Saya sangat terharu dengan respons itu sebenarnya. Yang kecaman itu tidak mengapa.
Tidak semua akan terima pendapat kita, tidak semua akan boleh terima teguran apatah lagi teguran viral seperti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!