Suami isteri ditahan disyaki dera amah

Mangsa ditemui dalam keadaan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, Bukit Mertajam pada Rabu.
Mangsa ditemui dalam keadaan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, Bukit Mertajam pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki mendera pembantu rumah mereka dengan memukul serta menyimbah air panas di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kedua-dua suami isteri berusia 60an dan 50an itu ditahan pada jam 9.20 malam, Rabu selepas polis menerima aduan orang awam mengenai kes tersebut.

Menurutnya, ketika serbuan ke rumah tersebut, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Myanmar yang ditemui di atas lantai di sebuah bilik dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

"Pemeriksaan fizikal mangsa mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan beberapa kesan calar di badan serta kaki.

"Ketika ditanya, mangsa mengadu telah didera oleh isteri majikannya dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit dan sebagainya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

"Mangsa yang berusia 30an itu sudah bekerja selama dua tahun sebagai pembantu rumah yang diuruskan oleh anak pasangan suami isteri tersebut.

"Difahamkan sepanjang mangsa bekerja di situ, dia dibayar gaji namun dari segi kebajikan, diabaikan majikannya termasuk dari segi makanan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suami isteri itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari tiga tahun dan boleh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!