Lebihan guru Bahasa Tamil di sekolah menengah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Tamil tidak ditawarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tahun ini berikutan terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran bahasa tersebut di sekolah menengah.

KPM menerusi kenyataannya berkata, penawaran biasiswa ISMP dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan opsyen guru KPM bagi sekolah menengah dari tahun ke tahun.

"Pada tahun ini, KPM telah mengunjurkan 28 mata pelajaran yang mempunyai keperluan di sekolah menengah KPM dan perlu diisi menjelang tahun 2025," katanya pada Khamis.

Bagaimanapun, KPM berkata, unjuran KPM mendapati wujud keperluan guru Bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang tahun 2026.

"Bagi mengisi keperluan ini, KPM menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melaksanakan pengambilan pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil bagi kemasukan September 2021," katanya.

Kementerian itu berkata, pihaknya sentiasa memastikan penawaran tempat untuk sebarang program pengajian dibuat supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan KPM.

"Langkah ini juga bagi mengelak lambakan guru dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran," katanya.

Bagi tahun 2021, penawaran program ISMP akan dibuka secara dalam talian bermula 1 hingga 31 Mac.

Artikel Berkaitan:

Biasiswa ISMP ditawarkan sejak tahun 2012 kepada pelajar cemerlang di universiti awam yang sedang mengikuti pengajian pendidikan tahun pertama atau kedua dalam bidang tertentu.

Pelajar ini kemudiannya akan dilantik menjadi pegawai perkhidmatan Pendidikan dan ditempatkan di sekolah menengah KPM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!