PPNS tambah pelaburan SPKP sebanyak RM19.5 juta
SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) menambah jumlah pelaburan sebanyak RM19.5 juta menerusi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang bakal memberi manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya.
Secara keseluruhan, jumlah dana PPNS bagi skim itu buat masa ini ialah berjumlah RM20 juta, sekali gus menjadikannya sebagai pertubuhan peladang yang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata, pihaknya berharap tambahan dana pelaburan itu dapat membantu ahli-ahlinya untuk memperoleh hasil pulangan saham terbaik menerusi skim berkenaan.
"Saya harap langkah ini dapat memainkan peranan untuk tambahkan nilai saham yang kita laburkan iaitu mungkin dengan pemberian hasil dividen lebih 10 peratus kepada ahli-ahli kami," katanya kepada Sinar Harian selepas simbolik penyerahan mok cek pelaburan berkenaan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNS, pada Khamis.
Hadir sama bagi menyempurnakan simbolik penyerahan mok cek berkenaan adalah Ahli Jemaah Pengarah Nafas Datuk Ali Shikh Ahmad yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK Nafas.
Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, PPNS juga berkeyakinan DPK akan dapat memberi jaminan terbaik kepada setiap ahli-ahlinya yang mengharapkan pulangan dividen memuaskan menerusi skim tersebut.
"PPNS mempunyai rezeki yang lebih dan kita melabur menerusi skim ini yang secara tak langsung dapat membantu Nafas menerusi DPR bagi perkembangan ekonomi.
"Langkah ini juga turut memberi manfaat kepada seluruh ahli-ahli kami," katanya.
DPK dilancarkan pada 17 Disember 2012 sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-39 di Kuala Lumpur di mana matlamat utama penubuhannya adalah untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada anggota dan rangkaian pertubuhan peladang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!