Kumpulan Azahar Lejang tumpas

Shafa'aton menunjukkan antara komponen dan motosikal curi yang dirampas polis menerusi Operasi Lejang Kumpulan Azhar bermula dari 1 hingga 18 Februari lalu.
Shafa'aton menunjukkan antara komponen dan motosikal curi yang dirampas polis menerusi Operasi Lejang Kumpulan Azhar bermula dari 1 hingga 18 Februari lalu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Baru berusia 16 tahun, namun sudah bergiat aktif dalam kegiatan mencuri dan menjual motosikal di sekitar kawasan Sungai Buloh serta beberapa daerah di negeri ini.

Aktiviti nekad remaja itu akhirnya membawa padah apabila suspek bersama 17 lagi individu lain diberkas dalam serbuan yang bermula 1 hingga 18 Februari lalu, sekali gus menumpaskan sindiket yang dikenali sebagai Kumpulan Azhar Lejang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, operasi dijalankan berikutan laporan yang diterima pihak polis berkaitan kehilangan sebuah motosikal milik seorang individu.

"Pada 8 Januari lalu, mangsa meletakkan motosikal jenis Honda Ex5 miliknya dalam keadaan berkunci di bawah Bangunan Blok E Laguna Biru 2 Kuang, Rawang.

"Mangsa menyedari motosikalnya hilang kira-kira jam 9.30 malam ketika mahu menggunakannya, mangsa kemudiannya mencari namun tak jumpa, semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal mendapati motosikalnya telah dicuri oleh individu yang tidak dikenal pasti kira-kira jam 8.15 malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Khamis.

Katanya, bertindak atas laporan dan maklumat risikan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh melancarkan Operasi Lejang Kumpulan Azhar.

"Operasi dijalankan bermula 1 Februari sehingga 18 Februari 2021 di Taman Perkasa, Hulu Langat, Paya Jaras Sungai Buloh, Rawang, Subang Bestari dan Kuang.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan yang dijalankan berjaya memberkas 17 individu yang mana seorang daripada suspek merupakan warga asing.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 16 tahun hingga 41 tahun," katanya.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan turut berjaya merampas beberapa motosikal dan komponen yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Antara yang dirampas adalah lima buah motosikal, lima rangka motosikal, satu bongkah enjin dan sepasang rim motosikal yang mana keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM30,000.

"Hasil soal siasat dijalankan, polis telah mengenal pasti sebanyak 15 kes kecurian motosikal dan 12 daripadanya berjaya diselesaikan," katanya.

Jelasnya, siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergerak aktif sejak penghujung tahun lalu.

"Kumpulan ini menyasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda dengan meleraikan motosikal yang dicuri untuk diambil komponen bagi kegunaan sendiri.

"Rangka motosikal akan dipotong dan dibuang dalam tasik dan sungai, mereka juga menjual motosikal yang dicuri kepada pendatang asing dengan harga sekitar RM500 hingga RM1,000 sebuah dan hasil jualan akan dibahagikan sesama mereka," katanya.

Tambahnya, suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau manakala sembilan daripada 14 suspek ditahan positif dadah jenis Methapatamine berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!