'PN ambil alih kerajaan untuk kembali syiar Islam'
SHAH ALAM - Usaha beberapa parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) dalam mengambil alih kerajaan umpama memberikan ubat tahan sakit untuk mengembalikan syiar Islam.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembentukan PN oleh Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah menjurus kepada hasrat itu.
“Usaha pengambilalihan kerajaan dirampas oleh Pakatan Harapan (PH), gabungan didominasi kalangan bukan Islam dan Islam liberal adalah sekadar ubat penahan sakit, sementara dilakukan rawatan selanjutnya.
“Tujuannya ialah mengembalikan semula Islam sebagai penyelesaian dengan mengumpulkan umat Islam insaf serta menggabungkan kalangan bukan Islam tidak ekstrem ke arah merealisasikan masyarakat majmuk madani,” kata Abdul Hadi.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata demikian di Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosio-Politik (CIMS 2021) secara maya pada Khamis.
Tambah beliau, pendekatan yang diambil adalah secara muwajahah silmiyyah melalui demokrasi berparlimen dan menolak cara ekstrem dengan mencegah campur tangan asing dalam perang proksi seperti yang berlaku di Timur Tengah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!