Pemilik warung ditemui berlumuran darah

Syamsul menunjukkan terdapat tompokan darah mangsa ketika dia sampai kira-kira jam 6.30 pagi pada Khamis.
Syamsul menunjukkan terdapat tompokan darah mangsa ketika dia sampai kira-kira jam 6.30 pagi pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pemilik Warung Gulai Itik ditemui berlumuran darah akibat ditikam dalam pergelutan ketika mahu membuat persediaan membuka kedainya, di Jalan Lencongan Timur, kira-kira jam 6.45 pagi pada Khamis.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dalam kereta miliknya oleh pembantu kedai yang datang kemudiannya.

Syamsul Alimin Mohamad, 47, berkata, pada mulanya, dia ternampak tompokan darah di sekitar warung sebelum memanggil nama mangsa, Zainol Hasan, 59, yang dikenali sebagai 'Pak Tam'.

"Masa tu masih gelap, cahaya lampu samar-samar, tak nampak Pak Tam masak, selalunya dapur dah berasap tetapi pagi tadi apa pun tak mula lagi.

"Saya jerit panggil Pak Tam tetapi tiada jawapan. Saya mula syak macam ada sesuatu yang tak kena apabila ternampak tompokan darah di sekitar warung. Saya terus hubungi polis dan ambulans," katanya.

Syamsul berkata dia kemudiannya memeriksa ke seluruh bahagian dapur dan luar sehingga ke tepi longkang, sebelum ternampak mangsa di dalam kereta.

Tompokan darah yang ditemui di sekitar kereta mangsa yang diparkir bersebelahan gerai terbabit.
Tompokan darah yang ditemui di sekitar kereta mangsa yang diparkir bersebelahan gerai terbabit.

"Dia kata 'tikam' sambil tunjukkan bahagian perut, saya lihat dia lemah akibat kehilangan banyak darah serta tidak banyak bercakap sehingga bantuan ambulans sampai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, warung yang menyediakan masakan popular gulai itik sejak lima tahun lalu itu dibuka sekitar jam 7 pagi bagi membolehkan pelanggan yang kebanyakan bekerja di agensi kerajaan berdekatan, bersarapan, namun terpaksa ditutup pada Khamis akibat kejadian terbabit.

Syamsul yang bekerja sambilan di gerai terbabit berkata, Pak Tam secara lazimnya sampai lebih awal untuk memasak dan dibantunya kira-kira jam 6.30 pagi sebelum mula sibuk menerima pelanggan selepas jam 7 pagi.

Tinjauan Sinar Harian ke sekitar lokasi kejadian menemui kesan tompokan darah di bahagian dapur, sekitar kereta dan di tempat letak kaki pemandu.

Tompokan darah mangsa ditemui di bahagian tempat letak kaki pemandu dalam kereta miliknya.
Tompokan darah mangsa ditemui di bahagian tempat letak kaki pemandu dalam kereta miliknya.

Turut ditemui beberapa rumpun serai yang telah dipotong dan ditinggalkan di bahagian belakang gerai terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek ketika sampai di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika mangsa sampai ke kedainya kira-kira jam 6 pagi, dia ternampak sebuah motosikal jenis Honda Wave diparkir di tepi jalan utama berhadapan dengan warungnya.

ADZLI ABU SHAH
ADZLI ABU SHAH

Katanya, apabila masuk ke dalam gerainya, dia ternampak seorang lelaki sedang memegang beberapa tin sardin dan telur masin disyaki yang dicuri dari warungnya.

"Mangsa bertindak menegur suspek menyebabkan suspek lari bersama barang-barang yang dicuri.

"Mangsa kemudian mengejar suspek sehingga ke motosikal dan berlaku pergelutan sehingga suspek bertindak melibas objek dipercayai pisau ke arah perut dan kaki mangsa sebelum melarikan diri,"katanya.

Menurut Adzli, mangsa masuk semula ke bahagian dapur untuk mengambil kain bagi membalut kecederaan di perut dan duduk di dalam kereta sehinggalah ditemui oleh pembantu yang datang lebih kurang jam 6.45 pagi.

Katanya, mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dilaporkan stabil.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat rumpun serai yang telah dipotong ditinggalkan di bahagian belakang gerai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat rumpun serai yang telah dipotong ditinggalkan di bahagian belakang gerai.

"Hasil pemeriksaan doktor mengatakan mangsa mengalami luka dalam di bahagian perut sebelah kiri dan di betis bahagian kiri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!