Tiga arahan baharu pesawat tanpa pemandu berkuat kuasa 1 Mac

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan tiga arahan penerbangan awam (CAD) yang mengatur operasi sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiga arahan berkenaan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM berdasarkan Seksyen 24O Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), ialah Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO), Operasi Pertanian UAS (AGR) dan Projek UAS Khas (SUP).

Beliau berkata, CAAM telah menetapkan standard, keperluan dan prosedur kepada individu dan pengendali di Malaysia untuk pertanian, organisasi latihan, penyelidikan dan pembangunan, operasi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS) dan operasi lain yang memerlukan sokongan tambahan daripada CAAM kerana ia melibatkan risiko.

Ka Siong berkata, CAD ini diguna pakai kepada semua RPTO yang ingin menjadi Organisasi Latihan Diluluskan oleh CAAM.

Beliau berkata, CAD bertujuan membantu organisasi baharu memastikan setiap permohonan sebagai RPTO memenuhi syarat-syarat oleh CAAM dan menjelaskan pengaturan, arahan dan hal undang-undang berkaitan bagaimana CAAM akan mentadbir RPTO.

“Ia juga memberi panduan kepada organisasi dalam memastikan pematuhan berterusan dan apabila terdapat perubahan yang sesuai terhadap organisasi tersebut,” katanya.

Bagi AGR, Ka Siong berkata, CAD mengandungi standard, keperluan dan prosedur untuk individu dan pengendali di Malaysia yang ingin memohon kelulusan untuk operasi pertanian menggunakan UAS bagi operator komersial dan swasta.

“Ia juga mengetengahkan syarat keselamatan yang mesti dipatuhi dari segi kelayakan udara dan/atau standard operasi sebelum UAS pertanian dibenarkan beroperasi di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai SUP, beliau berkata, CAD bertujuan membantu pelabur, pembuat dan pengedali dron tempatan, sama ada entiti kerajaan dan swasta untuk melabur, berinovasi dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan beroperasi dalam BVLOS serta operasi lain yang memerlukan aktiviti sokongan tambahan daripada CAAM berikutan risiko dalam industri UAS yang berkembang pesat.

Ka Siong berkata, CAAM akan melancarkan arahan lebih lanjut termasuk kategori ‘terbuka’ dan dron ‘mainan’ yang akan siap pada suku ketiga 2021.

Antara 2015 dan 2019, terdapat 46,876 dron diuji dan didaftarkan dengan SIRIM yang dikeluarkan dengan logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan dianggarkan sebanyak 10,000 unit berdaftar pada 2020, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!