Tiga gerai diroboh, peniaga rugi RM12,000

Afzainizam (kiri) bersama bapanya, Abdullah Saad menunjukkan tapak gerai mereka dirobohkan, semalam.
Afzainizam (kiri) bersama bapanya, Abdullah Saad menunjukkan tapak gerai mereka dirobohkan, semalam.
A
A
A

TELUK BAHANG - Seorang peniaga mengalami kerugian kira-kira RM12,000 apabila tiga buah gerainya diroboh Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya, semalam.

Pemilik, Afzainizam Abdullah, 41, berkata, dia kesal apabila surat rayuannya untuk menangguhkan perobohan itu tidak dilayan pihak berkuasa dan tiada perbincangan dibuat sebelum perobohan gerai yang dibina sejak lapan tahun lalu itu.

"Gerai ini saya bina untuk jalankan tiga perniagaan iaitu kedai mencuci kereta dan dua kedai makan. Saya tahu ini adalah tanah rizab kerajaan namun sekurang-kurangnya terima rayuan saya untuk tangguhkan perobohan ini hingga bulan depan. Perobohan ini dibuat selepas dua minggu notis diberikan.

"Sekarang, saya hilang mata pencarian. Saya tak dapat untung yang banyak pun. Dari ketiga-tiga kedai ini, setiap bulan hanya untung RM1,200 saja. Tetapi sekarang, langsung tak ada sumber pendapatan apabila semua kedai saya dirobohkan," katanya kepada media tadi.

Menurutnya, lebih mengecewakan, wakil rakyat kawasan tersebut juga tidak turun padang untuk membantu masalah yang dialaminya.

"Sebagai penduduk Teluk Bahang, saya agak kesal apabila wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya lalu langsung tak datang untuk bantu saya. Hanya selepas gerai saya dirobohkan, baru wakil rakyat hantar wakilnya untuk salurkan sedikit wang sumbangan.

"Bukan saya mahu menolak (bantuan yang dihulurkan) tetapi bagi saya, semuanya sudah terlambat. Gerai saya sudah dirobohkan. Jika diberi tempoh, sempat saya selamatkan binaan saya ini dari terus dirobohkan," katanya.

Afzainizam berkata, dia pernah memohon untuk memperolehi kelulusan dari pihak berwajib pada 2012 dan 2014 namun gagal.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memberi alasan saya berniaga di atas tanah rizab secara haram untuk merobohkan gerai saya, namun perniagaan saya langsung tidak mengganggu penduduk atau menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Pihak berkuasa juga tidak menyediakan tapak baru untuk saya berniaga. Saya difahamkan, ada tiga gerai lagi telah diberi notis dan akan dirobohkan pada 24 Februari ini. Beginikah layanan kerajaan negeri terhadap peniaga kecil seperti kami? Kami hanya nak cari makan secara kecil-kecilan untuk menanggung keluarga," katanya.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dari rekod, pembinaan gerai itu dibuat di tanah rizab jalan.

Menurutnya, pembinaan gerai itu juga didapati dibina melebihi lima tahun dan notis telah dikeluarkan kepada pemilik.

"Pembinaan ini dah lama dan ia dibina di atas tanah rizab kerajaan. Maka secara automatiknya, ia pembinaan haram.

"Pejabat tanah dan daerah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa negeri untuk diambil tindakan selain kes ini dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!