Seramai 1,400 asnaf manfaatkan Khemah Kaseh Sedekah Jariah OKB
KOTA BHARU - Seramai 1,400 golongan asnaf termasuk yang terjejas akibat Covid-19 di seluruh Kelantan boleh mendapatkan barangan keperluan disediakan Khemah Kaseh Sedekah Jariah Orang Kota Bharu (OKB) Yayasan Kaseh Kanser.
Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, Khemah Kaseh Sedekah Jariah yang diwujudkan sejak Julai tahun lalu itu menyediakan pelbagai barangan dapur dan pakaian secara percuma kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, orang ramai yang betul-betul memerlukan bantuan boleh datang mengambil barangan secara percuma di khemah terbabit yang terletak di Jalan Sri Cemerlang namun disaring menerusi senarai e-Kasih.
“Bagi menambah dana untuk terus meringankan beban golongan memerlukan termasuk membantu pesakit kanser, satu penganjuran Monsoon Charity Ride 2021 sepatutnya dianjurkan tetapi perlu dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun kayuhan melibatkan lebih 1700 penyertaan tidak dilaksanakan namun usaha kita untuk beramal menerusi aktiviti kesukanan tetap mencapai matlamatnya,” katanya kepada pemberita di Hotel Perdana pada Khamis sempena cabutan 133 hadiah bertuah Monsoon Charity Ride 2021 secara maya.
Beliau berkata, sebanyak RM50,000 berjaya dikumpulkan yang mana selain dikhaskan untuk perbelanjaan hadiah kutipan terbabit dimanfaatkan bagi menggembirakan golongan terkesan.
Katanya, pengambilan barangan dapur termasuk juga makanan sejuk beku dibuat secara berkala yang mana keluarga tersebut mestilah dalam kategori B40.
Tambahnya, sekiranya keluarga asnaf berkenaan terlalu susah dan mempunyai tanggungan yang ramai pihaknya memberikan kelonggaran untuk mengambil barang keperluan dua kali sebulan tetapi bergantung kepada stok food bank khemah.
“Bertepatan dengan matlamat penubuhan pihaknya sentiasa mencari jalan untuk membantu golongan sasar dengan sokongan pelbagai pihak dibantu pula dengan sikap rakyat Malaysia yang suka menderma,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!