Bas percuma mulai 1 Mac

Zairil (kanan) bersama Ku Jamil menunjukkan poster dan kad pas percuma pada sidang akhbar pada Khamis.
Zairil (kanan) bersama Ku Jamil menunjukkan poster dan kad pas percuma pada sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat Pulau Pinang bakal menikmati perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma bermula 1 Mac depan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kesemua penduduk negeri ini yang berwarganegara Malaysia boleh menggunakan kemudahan tersebut pada bila-bila masa sehingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, pengguna hanya perlu melanggan Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30 yang berharga RM10 untuk mendapat perkhidmatan bas percuma ke seluruh Pulau Pinang tanpa had.

Katanya, pengguna yang sudah mempunyai Pas Mutiara My30 tidak perlu lagi membeli kad baharu sebaliknya hanya memperbaharui kad secara percuma di kiosk tertentu.

"Usaha ini adalah inisiatif kerajaan negeri yang bekerjasama dengan pengendali Rapid Penang iaitu Kumpulan Prasarana untuk membantu meringakan beban rakyat Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan selepas memperluaskan insentif pas perjalanan tanpa had (Pas Mutiara My30) ke Pulau Pinang bermula 1 Januari lalu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Pulau Pinang, M Maheswari dan Ketua Wilayah Utara Rapid Penang, Ku Jamil Zakaria

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas Rapid Penang dengan harga RM30 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, sebagai langkah proaktif untuk membantu meringankan beban pengguna ketika Covid-19, kerajaan negeri akan menanggung kos langganan Pas Mutiara My30 yang bernilai RM30 sebulan untuk setiap kad.

"Rakyat Pulau Pinang kini boleh menikmati bas percuma di semua laluan dengan pembiayaan kad ini oleh kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Zairil berkata, pembiayaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 dengan jumlah kad sebanyak 10,000 keping sebulan.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta untuk program ini sehingga 31 Disember ini. Pengguna sedia ada berjumlah 2,300 dan kita menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan awam ini.

"Prasarana kini mempunyai 400 buah bas namun ketika penularan pandemik Covid-19, hanya 200 bas sahaja yang aktif. Jumlah ini meliputi 50 laluan di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Tambahnya, Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30 tersebut hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid Penang sahaja dan bukannya bas percuma lain yang disediakan kerajaan negeri sebelum ini.

"Kerajaan negeri percaya dengan pembiayaan ini, ia berupaya menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

"Dengan Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30 ini juga pengguna bakal meraih penjimatan kos seharian seperti petrol, parkir dan tol," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!