Sembilan kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang dibaikpulih
GEORGETOWN - Sembilan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang yang terbakar dalam kejadian pada petang Isnin lalu sedang dibaikpulih oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kabel elektrik berusia 30 tahun itu telah diselenggara secara berjadual selain diadakan ujian menyeluruh pada semua kabel setiap empat atau lima tahun.
Zairil berkata, bagaimanapun beliau belum menerima laporan berhubung punca kebakaran pada kabel elektrik di KM3.2 Jambatan Pulau Pinang tersebut.
"Pasukan forensik masih menunggu laporan dari pihak bomba untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran yang memusnahkan kesemua (sembilan kabel) di bahagian tersebut.
"Kebakaran bukan pada semua bahagian, ia melibatkan satu bahagian sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Khamis.
Tambahnya, beliau difahamkan, TNB sentiasa menjalankan penyelenggaraan berjadual pada semua kabel elektrik di situ.
"Kita sedang menunggu punca kebakaran supaya kerja pembaikan boleh dirancang dengan sewajarnya.
"Di lokasi kejadian, tiada lagi sisa kebakaran ditemui selepas api berjaya dipadamkan pada Selasa lalu iaitu sehari selepas kejadian. Sebelum itu, pada hari kejadian, api sudah berjaya dipadamkan namun masih ada sisa pada keesokan harinya," katanya.
Sebelum ini, TNB mengesahkan tiada berlaku kebakaran baharu pada ketiga-tiga kabel 132 kilo volt (kV)di Jambatan Pulau Pinang susulan kebakaran pada kabel bawah jambatan tersebut pada Isnin.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, laporan yang mengatakan berlaku kebakaran baharu pada kabel di jambatan tersebut tidak tepat susulan pihak bomba hanya memadamkan sisa kebakaran sahaja.
Dalam kejadian pada petang Isnin, kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara menyebabkan keadaan trafik di atas jambatan tersebut sesak.
Kebakaran itu dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih dalam siasatan.
Bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!