Lumpuh angkara dipukul rakan
TUMPAT - Jika anak sulungnya lumpuh separuh badan angkara dipukul rakan, biarlah penderitaan itu ada pembelaan.
Itu luahan seorang ibu, Owee Geok Lim, 51, yang bergenang air mata memikirkan nasib anaknya, Law Boon Peng, 28, terlantar atas katil di kampung Paya Pasir di sini.
Geok Lim berkata, sudah dua bulan keadaan anaknya seperti itu selepas pendarahan di kepala akibat dipukul pada Disember tahun lalu.
"Ada darah beku di kepala dan selepas menjalani pembedahan, dia lumpuh separuh badan.
"Dia ingat apa yang menimpanya, pada mulanya dia beritahu cedera akibat kemalangan jalan raya, tetapi selepas itu baru diceritakan perkara sebenar.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa bayaran tetapi mahu pelaku yang memukul anak saya itu ditangkap," katanya mempunyai dua anak.
Geok Lim berkata, suaminya, Law Ah Wang, 58 sudah membuat laporan polis agar kejadian itu disiasat dan mendapat keadilan sewajarnya.
Menurutnya, dia terpaksa urus anaknya itu seperti bayi kerana perlu minum susu melalui tiub dan memakai lampin pakai buang.
"Makan minum perlu disuapkan, setiap empat jam perlu diberikan susu yang disalurkan melalui tiub," katanya.
Menurutnya, impiannya hanya mahu melihat anaknya boleh berjalan semula.
Katanya, rawatan susulannya adalah pada 19 Februari ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang akan menentukan kesihatannya.
"Kalau dia pulih, dia boleh tanggalkan tiub ini, jika tidak keadaannya kekal begini," katanya.
Menurutnya, paling merisaukannya perbelanjaan susu dan lampin pakai buang berjumlah RM1,500 sebulan termasuk rawatan tradisional mengurut.
Katanya, sedangkan gaji suaminya hanya sekitar RM1,200 yang bekerja sebagai pemandu jengkaut.
"Susu khas sebulan habis 12 tin, satu tin berharga RM88, sekarang ini kami gunakan wang simpanan untuk perbelanjaannya," katanya.
Nasib keluarga ini mendapat pembelaan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan(KKCK) apabila menziarahinya.
Pengerusinya, Pui Tiong Lam berkata, pihaknya akan membekalkan dua tin susu dan lampin pakai buang setiap bulan kepada Boon Peng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!