Yatim piatu sekelip mata
KUALA TERENGGANU - Anak sulung kepada pasangan yang maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap, awal pagi, Sabtu lalu masih belum mengetahui dia telah kehilangan seluruh ahli keluarga.
Muhammad Khairul Haziq Abdul Hadi, 5 kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana mengalami kecederaan pada rahang dan kaki.
Datuk saudaranya, Fathun Mubeen Zakaria, 30, berkata, keadaan kesihatan cucu saudaranya itu tidak mengizinkan untuk mereka semua memberitahu perkara sebenar.
"Buat masa ini, dia perlu menjalani pembedahan rahang gigi dan kaki kirinya di HSNZ.
"Jadi, rasanya sekarang bukan lagi masa yang sesuai. Perlu ambil masa untuk jelaskan perkara yang sebenar," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bercakap mengenai tahap kesihatan Haziq, katanya ia menunjukkan perkembangan positif.
"Dia semakin ceria. Keadaan kesihatannya juga bertambah pulih dan sudah boleh bercakap.
"Sebelum ni, mata dia nampak asyik cari arwah mak dan ayah dia, hari ini nampak macam ok, nak makan, mewarna dan tengok cerita," katanya.
Tragedi jam 2.45 pagi itu mengorbankan ibu bapa Haziq, Mohd Khairulinzam Jusoh, 38, dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21 serta adiknya, Nur Khaira Aisyah yang berusia lapan bulan.
Kejadian itu turut mengorbankan ibu dan adik Nur Syaazlien iaitu Rozilawati Mustafa@Razali, 43, dan Muhammad Nashrullah Salleh, 5.
Terdahulu, Perkeso Terengganu menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada ibu Mohd. Khairulinzam, Wook Awang, 68, di kediamannya di Kampung Paloh Tuan Sulong.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mok tak mboh balik doh’
ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga maut: Jenazah dikebumi dalam satu liang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!