Aduan kuari jejas penduduk, alam sekitar diteliti
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan meneliti setiap aduan dikemukakan penduduk berhubung aktiviti kuari di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana kemungkinan pengusaha kuari melanggar syarat yang diluluskan sebelum ini.
“Setiap permohonan yang diluluskan disertakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kajian impak sosial (SIA) oleh pengusaha terlibat, namun tidak mustahil beberapa permasalahan timbul setelah kuari beroperasi.
“Secara umum mana-mana pihak yang mahu mengusahakan kuari, perlu sertakan kajian EIA dan SIA. Apabila kedua-dua laporan itu lengkap termasuk tiada bantahan daripada semua jabatan terlibat, kita akan luluskan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Buku Kaedah-kaedah Tanah Kedah 2018 di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Menurutnya, namun terdapat segelintir pemohon tidak menyerahkan laporan SIA yang menyeluruh, menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini seperti pelanggaran syarat.
“Ada kes setelah diluluskan, penduduk mengadu terkesan dengan aktiviti kuari itu, seperti jejas punca air, banjir lumpur, jalan rosak, tidak gunakan laluan berasingan dengan laluan jalan kampung, semua ini akan diambil kira,” katanya.
“Kadang-kadang penduduk juga mahukan aktiviti ekonomi di kawasan itu, namun kesan negatif itu menyebabkan mereka bantah selepas kuari beroperasi. Kita akan teliti dan bertindak sewajarnya terhadap aduan penduduk yang terkesan dengan aktiviti itu,” katanya.
Mukhriz berkata, sepatutnya pemohon harus bersemuka dengan penduduk terlebih dahulu bagi melengkapkan kajian SIA, dengan mengadakan sesi town hall supya semua persoalan terjawab.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan pengusaha kuari berlesen tidak mematuhi syarat dengan menceroboh kawasan yang tidak dibenarkan.
“Berdasarkan rekod, ada kuari dilakukan secara haram, ada dibenarkan beroperasi tetapi langgar sempadan kawasan diluluskan,” katanya.
Pada 9 Februari, lebih 200 penduduk mengadakan bantahan aman di kaki Gunung Pulai mendesak kerajaan negeri membatalkan projek kuari batu kapur yang akan beroperasi di kawasan itu.
Penduduk mahu kuari itu digantikan dengan pusat pelancongan bagi menjana pendapatan penduduk susulan Gunung Pulai dan Gunung Baling berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu.
Kelmarin, penduduk Kampung Wang Tepus turut bimbang apabila kegiatan kuari pasir sungai yang beroperasi sejak dua tahun lalu menyebabkan berlaku hakisan tebing Sungai Padang Terap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!