KPDNHEP akan mohon kebenaran pengusaha katering beroperasi
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat untuk memberi kebenaran serta kelonggaran kepada pengusaha katering bagi membolehkan mereka kembali beroperasi dengan menjalankan majlis perkahwinan dalam skala kecil.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, dianggarkan lebih 20,000 pengusaha katering di seluruh negara ketika ini terkesan kerana terpaksa berdepan pembatalan majlis perkahwinan dan keraian oleh pelanggan selain tidak menerima sebarang tempahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Walaupun majlis keraian sosial dan keramaian tidak dapat diadakan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 berjaya, kementerian melihat masih ada ruang untuk pengusaha katering dibenarkan beroperasi.
“Antara lain, kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti serendah 250 orang di lokasi awam seperti dewan dengan memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran kehadiran ke majlis dan lain-lain yang ditetapkan MKN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Pematuhan SOP Perdagangan Pengedaran Bagi Subsektor Restoran di sini hari ini.
Rosol berkata, pihaknya yakin jika kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti 250 orang di dewan yang sesuai diberikan, ia bukan sahaja dapat membantu pengusaha katering untuk kembali bernafas malah dapat mengelak masalah kehilangan pekerjaan serta kerugian dan penutupan perniagaan.
“Kementerian juga menerima jaminan daripada pengusaha katering untuk memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi SOP ketat bagi mengelak risiko penularan Covid-19 sekali gus menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan pandemik ini seiring dengan pemulihan ekonomi dan sektor perniagaan di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, Rosol berkata kementerian melihat kebenaran mengadakan majlis perkahwinan di rumah masih memerlukan kajian terperinci berikutan kesukaran untuk memastikan perjalanannya mematuhi pelaksanaan SOP yang ketat.
Pada program itu, Rosol turut menerima ‘aku janji’ Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi menyatakan sokongan dan keyakinan bahawa ahli persatuan tersebut komited dalam memastikan kesemua lebih 4,500 restoran mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!