Remaja sasaran terkini scammer

A
A
A

WARGA emas dikenal pasti sering jadi sasaran scammer. Berita tentang golongan berpencen ditipu menerusi sindiket ternoda seperti Macau Scam sering terpapar di media. Namun, berita dari Britain minggu lalu menggusarkan penulis.

Cosmopolitan, majalah tersohor dipelopori Syarikat Majalah Nasional atau National Magazine Company (NMC) berpangkalan di England dua minggu lalu menyiarkan berita wanita muda berusia 21 tahun dikenali sebagai Alicia berasal Liverpool, hilang wang simpanannya ketika memindahkan £2,500 (RM14,006) kepada akaun ejen palsu yang mengaku pemilik hartanah.

Beliau meminta Alicia menyalurkan beberapa maklumat peribadi termasuk pasport dan alamat rumah.

Jelas, penggodam siber tidak lagi menyasarkan kelompok profesional, golongan lurus bendul atau warga emas. Sebaliknya, mangsa penipuan milenium kini menular kepada golongan remaja. Ada penggodam yang menggunakan taktik lama iaitu pura-pura jatuh cinta.

Penulis mengenal pasti sikap mudah percayakan kepada panggilan palsu sebagai faktor utama penipuan. Namun, penulis terkilan kerana golongan muda terdedah kepada berita di media massa. Berita tentang penggodam seperti Macau Scam sentiasa berputar dari masa ke masa. Timbul tanda tanya kenapa golongan muda juga mudah terperangkap janji manis scammer?

Kajian penulis mendapati penipuan golongan muda dibentuk menerusi penglibatan mereka dalam program kuiz, pertandingan melalui talian, khidmat kemasyarakatan, berbelanja melalui media sosial atau pelbagai program menggunakan aplikasi pelantar atau platform application.

Cosmopolitan melaporkan kajian mendapati 73 peratus pengguna media sosial berumur antara 18 dan 34 tahun, yakin mereka mampu mengenal pasti penipuan. Namun, apa yang sebenarnya berlaku adalah remaja sangat mudah terjebak kepada penipuan scammer.

Penulis percaya penggodam mencipta suatu teknik disebut sistem penipuan pemetaan kecerdasan buatan atau artificial intelligence mapping scam (AIMS) yang mampu mengenal pasti watak, kegemaran, hobi dan tingkah laku semua pengguna tegar media sosial melalui aktiviti komunikasi suara serta video, pencarian bidang maklumat, transaksi memuat naik dan turun data. Daripada sinilah penyangak siber berpura-pura menghubungi mangsa.

Artikel Berkaitan:

Justeru, penulis mencadangkan beberapa pendekatan bagi mengekang scammer. Sentiasa kendalikan urusan kewangan secara dalam talian atau pemindahan wang secara berhemah. Ambil beberapa tindakan normal baharu seperti teknik take five to stop fraud (TFSF). Sentiasa berfikir adakah tran-saksi itu tepat atau berbaur penipuan.

Terperangkap

Sentiasa belajar untuk katakan tidak atau abaikan sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan ada bungkusan dari luar negeri. Secara logiknya, adakah kita mengenali mereka yang menghantar bungkusan berharga itu sehingga kita perlu memberikan identiti pengenalan dan nombor akaun bank?

Ramai remaja terperangkap dengan penyamaran scammer yang menimbulkan rasa panik. Sikap membuatkan kita bertindak tidak rasional sehingga membuat keputusan tergesa-gesa. ALLAH SWT sentiasa mengingatkan umat-Nya agar tenang membuat keputusan. Per-ingatan itu dinyatakan dalam beberapa ayat termasuk Surah Al-Hasyr [59:18].

Penulis juga mendapati penggodam melakukan camouflage sebagai organisasi berwajib seperti pegawai bank, pegawai polis dan pegawai kerajaan. Namun, ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu transaksi atau pengiriman wang dibuat. Misalnya, kenali dahulu organisasi penerima wang berkenaan. Semak akaun yang diberikan.Pengguna juga disaran agar sentiasa hubungi bank bagi mendapatkan kepastian sebelum lakukan transaksi.

Bagi mereka yang menjalankan perniagaan atas talian, penulis mencadangkan agar pastikan sistem pelantar yang digunakan telah terbukti kesahihannya dan mempunyai sistem keselamatan siber menyeluruh. Sistem berkenaan juga mestilah sentiasa dikemaskini daripada masa ke masa.

Kesimpulannya, penulis ingin mencadangkan golongan muda yang mengaku celik sistem teknologi maklumat (IT) tidak mudah terjebak kepada penipuan scammer. Sentiasa amalkan sistem check and balance. Hubungi bank sekiranya ada keraguan agar tidak terperangkap muslihat scammer.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!