Bergurau senda biar berpada, jangan sampai menambah dosa
DONE riak!’ Demam pulak hari ni (sambil meletakkan gelang sebesar lengan di atas dahi bagi menggantikan cool fever)’. Bulat biji mata Merak Jalanan ketika ditunjukkan oleh seorang sahabat tentang perkongsian-perkongsian yang lebih bersifat ‘riak’ dalam satu grup baharu yang diwujudkan di Facebook awal Februari lalu.
Hebatnya pengikut grup tersebut kerana mampu show off segala kemewahan dan kekayaan yang dimiliki. Terkesima Merak Jalanan yang cuba berfikiran positif. Mungkin mereka hanya mahu bergurau, berjenaka, berhibur atau sekadar melepaskan tekanan.
Merak Jalanan sebenarnya tak berapa setuju perbuatan riak itu dijadikan bahan gurauan atau jenaka. Mula-mula memanglah niat mahu bergurau senda tetapi tidak mustahil jika ia menjadi tabiat untuk membangga diri. Tidakkah mereka menyedari mereka mungkin sedang menambah dosa.
Itu hanyalah salah satu contoh. Banyak lagi sebenarnya perbuatan riak yang berlaku di sekeliling kita. Zaman teknologi serba canggih sekarang ini membuatkan kita kadangkala terlepas pandang. Misalnya, bagi kita yang mempunyai laman sosial dan sering memuat naik gambar, pasti tidak perasan ada beberapa perkara riak yang kita lakukan dalam kehidupan ini.
Contoh mudah, selfie di dalam kereta. Niat di hati nak beritahu sedang terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi zahirnya orang lain mungkin melihat anda nak menonjolkan jenama kereta, jam tangan atau minuman yang dipegang. Riak, sombong, angkuh, bongkak, bangga diri atau takbur, semuanya dikategorikan sebagai penyakit hati yang tidak mudah diubati, apatah lagi jika jarang mahu muhasabah diri.
Nasihat Merak Jalanan agar sentiasalah berhati-hati supaya diri tidak tergolong dalam kalangan manusia yang riak. Ingatlah, segala kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada-Nya. Jika kita tidak bersyukur, bila-bila masa ia boleh ditarik semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!