Gelandangan PKP 2.0 terkawal, tiada peningkatan ketara

Aktivis Kechara Soup Kitchen menyantuni gelandangan sekitar ibu kota.
Aktivis Kechara Soup Kitchen menyantuni gelandangan sekitar ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah gelandangan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di ibu negara adalah terkawal dan tidak menunjukkan peningkatan ketara berbanding PKP sebelumnya.

Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah berkata, faktor gelandangan meningkat semasa PKP Mac lalu adalah disebabkan hilang pekerjaan susulan pelaksanaan PKP yang dilakukan secara mengejut.

Namun menurutnya, situasi semasa PKP 2.0 lebih terkawal apabila kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan inisiatif pembukaan Pusat Sementara Gelandangan (PSG).

“Selain itu, ia juga didorong oleh sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi membolehkan kebanyakan mereka yang menerima gaji secara harian boleh bekerja seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Kechara Soup Kitchen sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan sejak 13 tahun lalu menjalin kerjasama dengan kerajaan dan agensi terlibat dalam usaha mengurangkan jumlah gelandangan.

“Kami bukan NGO yang sekadar memberi makan kepada gelandangan sebaliknya turut menyediakan program termasuk peluang pekerjaan dan perubatan serta pemulihan kepada kumpulan in,” katanya.

Justin berkata, gelandangan yang berkeliaran di ibu kota dibahagikan kepada dua kelompok iaitu yang bersifat sementara dan juga hard core.

“Gelandangan bersifat sementara ini adalah mereka yang hidup susah disebabkan hilang pekerjaan atau gaji yang diterima tidak mampu menampung kos sara hidup di bandar.

Artikel Berkaitan:

“Namun kebiasaannya mereka bergelandangan bukan dalam tempoh yang lama. Contohnya apabila sudah mempunyai pekerjaan atau disediakan hostel untuk menginap, mereka tidak lagi bergelandangan.

Antara gelandangan yang menerima bantuan makanan disediakan Kechara Food Kitchen.
Antara gelandangan yang menerima bantuan makanan disediakan Kechara Food Kitchen.

“Sementara bagi kategori hard core kebiasaannya disebabkan masalah penyalahgunaan dadah dan juga masalah lain termasuk ada yang disisihkan keluarga,” katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak luar khususnya pihak yang berminat membantu gelandangan melalui gerak yang bersifat holistik dan sistematik.

“Kerjasama strategik memudahkan bentuk bantuan disalurkan dengan betul dan mengelak berlakunya pembaziran sumber yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk kos pemulihan dan penempatan sementara gelandangan,” katanya.

Sementara itu, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri Johor bagi mengurangkan masalah gelandangan di bandar raya itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, bagi jangka masa pendek, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan makanan untuk mereka.

Beliau berkata, makanan disediakan setiap hari pada pagi, tengah hari dan petang di Laman Tun Sri Lanang di pusat bandar raya itu yang dijadikan pusat pengedaran makanan bagi gelandangan.

“Kita turut melakukan profiling dengan mendaftarkan bilangan sebenar gelandangan di bandar raya ini. Setakat ini, seramai 77 gelandangan sudah didaftarkan dan usaha itu dilakukan secara berterusan.

“Kita bekerjasama dengan NGO dan individu yang menyumbangkan makanan di laman itu. Seramai 237 orang didaftarkan untuk menerima makanan di sini setiap hari dan 77 daripadanya adalah gelandangan,” katanya.Zaiton berkata, pihaknya juga sedang melakukan inisiatif menjejaki semua gelandangan untuk diberi bantuan.

Jelas beliau, para gelandangan tersebut akan melalui proses tapisan terlebih dahulu sebelum diterima masuk ke pusat perlindungan sementara itu.

“Anjung Singgah menerima kemasukan yang bersyarat iaitu hanya mereka yang mahu mencari kerja dan tempat tinggal. Selepas mereka mendapat kerja dan stabil, mereka akan keluar dari Anjung Singgah.

“Bagaimanapun, penagih dadah tidak diterima kerana Anjung Singgah tidak mempunyai kepakaran untuk merawat mereka. Begitu juga gelandangan yang mempunyai masalah mental, tidak diterima,” katanya.

Bagi warga emas yang menjadi gelandangan pula, beliau berkata, siasatan akan dilakukan JKM untuk mengesan waris mereka.

“Sekiranya ada waris, mereka akan dipulangkan kepada keluarga, manakala bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai waris akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Johor Bahru,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!