Pegawai polis antara 4 direman bantu siasatan kes rasuah
GEORGETOWN - Seorang pegawai kanan polis berpangkat asisten superintendan direman bersama tiga lelaki lain bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang berjumlah RM500,000 pada Jumaat.
Pegawai berusia 43 tahun itu bersama seorang anggota polis berpangkat lans koperal, 40, dan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), 36, direman dua hari bermula hari ini.
Sementara itu, seorang orang awam yang juga ahli perniagaan berusia 29 tahun pula direman tiga hari bermula hari ini hingga 1 Mac ini.
Kesemua mereka yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Georgetown dengan berpakaian lokap SPRM kira-kira jam 10.30 pagi.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff di Mahkamah Majistret Sivil Georgetown, di sini.
Menurut sumber, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang mana, kesemua mereka dipercayai menerima wang suapan secara bulanan bagi melindungi serta membocorkan maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu.
Kesemua suspek kini direman di Lokap SPRM, di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.
Pegawai kanan polis dan kakitangan MBPP diwakili peguam, K Kumaran manakala anggota polis diwakili peguam, V Muniandy.
Sementara itu, ahli perniagaan tersebut tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!