BN soal kenapa pemimpin PH rajin turun Dun Semenyih?
SEMENYIH – BN Selangor mendakwa, sejak beberapa hari lalu beberapa pemimpin PH terutamanya daripada Bersatu dilihat begitu agresif turun padang ke Dun Semenyih.
Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, PH begitu prihatin dengan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkayuh basikal dan timbul idea mahu menjadikan Semenyih sebagai lokasi ‘bicycle tourism’.
“Manakala Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula melakukan pecah tanah projek sekolah yang didakwa hasil perjuangan kerajaan PH. Tidak ketinggalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun juga sampaikan kunci dan mesin jahit.
“Nampaknya cara menteri-menteri berkenaan sama seperti yang dilaungkan sebelum ini kononnya kerajaan terdahulu salah guna kuasa, salah guna jentera kerajaan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, persoalannya, apa sudah jadi kepada mereka ini yang kini menerajui kerajaan pusat dan negeri?
“Ramai yang keliru dengan sikap mereka. Walaupun teguran demi teguran dibuat termasuk daripada NGO Bersih 2.0, nampaknya apa sahaja yang dilakukan mereka adalah betul kerana mereka adalah kerajaan ‘Malaysia Baharu’,” katanya.
Ujarnya lagi, BN Selangor tidak melihat ia sebagai satu isu lagi kerana apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kini semuanya adalah betul dan rakyat perlu menerima dengan hati yang tenang sebab mereka ini ‘Malaysia Baharu’.
“Tumpuan BN Selangor kini termasuk dengan kerjasama Pas dan beberapa NGO yang mula ‘buka mata’ adalah untuk terus mendampingi seramai mungkin pengundi dan menyusun gerak kerja yang tersusun.
“Calon kami akan diumumkan pada Khamis ini dan sudah pasti dengan istiqamah kejayaan pasti menyusul,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!