'Rumah kecil' tempat berteduh pemikat burung anak-beranak

Amirul Syahir (kiri) menyampaikan sumbangan barangan elektrik untuk kegunaan keluarga Mohd Faizuan (tiga dari kiri) di Kampung Telok Layang, Kuala Kedah.
Amirul Syahir (kiri) menyampaikan sumbangan barangan elektrik untuk kegunaan keluarga Mohd Faizuan (tiga dari kiri) di Kampung Telok Layang, Kuala Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemikat burung hanya mampu menyewa kediaman berupa ruang kecil pada harga RM100 sebulan di Kampung Telok Layang, Kuala Kedah di sini sebagai tempat isteri dan dua anaknya berteduh.

Mohd Faizuan Mansor, 36, berkata, dia tidak mampu menyewa rumah lebih selesa untuk mereka anak beranak kerana hasil pendapatannya sebagai pemikat burung cuma sedikit.

"Kebiasaannya saya akan memikat burung merbok, tekukur dan merpati di sekitar kawasan Alor Setar serta menjualnya kepada pemilik kedai burung dengan harga antara RM2 hingga RM4 seekor.

"Kalau nasib baik, saya boleh dapat RM20 sehari tetapi ada juga hari yang tauke kedai tidak mahu beli sebab stok burung sudah banyak. Jika situasi begini, saya tidak ada pendapatan pada hari tersebut," katanya ketika ditemui di kediamannya itu pada Jumaat.

Menurutnya, dia mula menyewa kediaman tersebut sejak Julai tahun lalu selepas tidak mampu membayar sewa rumah sebelum ini akibat kekurangan pendapatan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Rumah sebelum ini saya sewa dengan harga RM200 sebulan tetapi disebabkan tidak mampu membayar sewa, tuan rumah meminta kami berpindah dan akhirnya saya jumpa rumah ini dengan sewa lebih murah," katanya.

Tambah Mohd Faizuan, ruang seluas 20 x 18 kaki itu menjadi tempat untuk mereka anak beranak tidur serta isterinya, Zul Hijah Fadzilah,31, memasak, sekali gus tempat anak-anaknya bermain.

"Saya tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya kami mempunyai tempat untuk berteduh selain ruang ini mempunyai bekalan elektrik dan air untuk kegunaan seharian. Namun, keadaan tandas tidak begitu sempurna," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain memikat burung, Mohd Faizuan juga mengambil upah untuk kerja seperti memotong rumput dan lain-lain pekerjaan kampung bagi menambah pendapatan.

Tambah Mohd Faizuan, walaupun kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun dia tetap menabung untuk membiayai kos rawatan anak bongsunya, Nur Rizki Danish,2, yang menghidap jantung berlubang serta mempunyai masalah pendengaran sejak lahir.

"Selepas tamat tempoh berpantang saya dan isteri berulang-alik setiap bulan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk berjumpa doktor pakar.

"Setiap kali rawatan saya perlu sediakan sekitar RM30 termasuk untuk belanja makan, pendaftaran berjumpa pakar dan mengisi minyak motosikal. Kadang-kadang sekiranya duit dikumpul tidak cukup, saya terpaksa menunda tarikh janji temu sementara saya mengumpul semula wang untuk ke hospital,' katanya.

Menurut Mohd Faizuan, bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarganya.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendaftarkan persekolahan anak sulung pasangan berkenaan, Mohammad Amirul Danish, 8.

"Kita dapati anak sulung mereka tidak mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak lain yang seusia dan saya rasa menjadi tanggungjawab GPMS untuk membantu memandangkan sesi persekolahan akan bermula pada 1 Mac ini.

"Turut disumbangkan adalah pakaian sekolah kepada Mohammad Amirul Danish, barangan elektrik untuk kegunaan keluarga ini kerana ketika lawatan sebelum ini saya dapati mereka hanya mempunyai periuk nasi dan menggunakan dapur "camping" untuk memasak," katanya.

Dalam pada itu orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Faizuan di talian 017-505 4426 atau menghulurkan sumbangan ke akaun BSN 0200141000026354 atas nama Zul Hijah Fadzilah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!