Kontraktor meninggal dunia ketika ubah suai rumah

Adzli Abu Shah
Adzli Abu Shah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang kontraktor meninggal dunia ketika melakukan kerja-kerja mengubah suai sebuah rumah di Lorong Bunga Raya, Taman Bunga Raya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10.39 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 60 tahun meninggal dunia ketika membuat kerja ubah suai rumah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya sebelum itu sedang menjalankan projek mengubah suai rumah teres berkembar satu tingkat milik seorang wanita sejak kira-kira tiga hari lepas.

"Pada hari kejadian, rakannya memaklumkan lelaki terbabit memulakan kerja membaiki dan menukar bumbung rumah lebih kurang jam 8.30 pagi dan mangsa masih dalam keadaan sihat dengan menjalankan kerja seperti biasa.

"Namun, dia telah jatuh dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di atas bumbung kira-kira jam 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, rakan mangsa yang turut berada bersama lelaki itu di atas bumbung telah cuba memberikan bantuan kecemasan terhadapnya, dan terus menghubungi bomba.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba telah membawa turun lelaki berkenaan dari atas bumbung dan mangsa didapati masih lagi bernyawa.

Katanya, pihak bomba cuba memberikan bantuan kecemasan setibanya di bawah sementara menanti ambulans namun mangsa disahkan meninggal dunia melalui pemeriksaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Melalui temu bual dengan waris, mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di hospital," katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut diteruskan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah telah dihubungi dan membuat sanitasi di tempat kejadian.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan sebelum proses bedah siasat," katanya.

Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki ditemui atas bumbung dibawa turun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menggunakan tangga di Taman Bunga Raya, di sini pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!