Guru wanita maut nahas di Semporna
SEMPORNA - Seorang guru wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Arbayah Johan, 54, dipercayai mengajar di Sekolah Kebangsaan Lihak-Lihak meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 8.20 pagi.
Ketua Polis Semporna, Superintendan Peter Anak Umbuas, berkata mangsa yang memandu kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau sebelum bertembung dengan Proton Saga dipandu seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun.
"Lelaki tersebut yang memandu dari arah Tawau menuju ke Semporna cuba memotong di laluan bertentangan tetapi tidak sempat lalu melanggar kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Peter berkata, lelaki tersebut turut cedera parah dengan patah tangan kanan serta kaki kanan dan kini mendapat rawatan di Hospital Semporna.
Katanya kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!