Anak anggota IPD Serdang terima baucar Pusat Pakaian Hari-Hari
SERDANG - Seramai 250 anak anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang diraikan dengan pemberian baucar RM100 setiap seorang bagi pembelian kelengkapan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, bantuan itu dapat mengurangkan beban kepada anggotanya bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak menjelang pembukaan sekolah pada 1 Mac nanti.
“Saya berterima kasih kepada pihak Pusat Pakaian Hari-Hari yang menghulurkan sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat mereka kepada kami.
"IPD Serdang juga terharu dengan pemilihan IPD ini sebagai penerima sumbangan," katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Baucar Sekolah kepada anak-anak anggota IPD Serdang di Pusat Pakaian Hari Hari di Taman Sri Serdang, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pakaian Hari Hari, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim berkata, pemilihan itu adalah sebagai menghargai pengorbanan pihak polis dalam penugasan sepanjang Covid-19.
“Sebelum ini, program ini yang dijalankan setiap tahun memilih penerima dalam kalangan anak yatim.
“Namun buat julung kalinya, kami memilih pihak polis sebagai penerima pada tahun ini memandangkan mereka juga banyak memainkan peranan penting ketika pandemik Covid-19 selain petugas kesihatan.
“Justeru, kami memilih IPD Serdang sebagai penerima mewakili Polis Diraja Malaysia kerana lokasinya terletak berhampiran dengan cawangan kami di Taman Seri Serdang yang sudah beroperasi sejak lebih lima tahun lalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!