Masa terbaik kawal dalang kegiatan jenayah

Gambar kecil: Shahul Hamid
Gambar kecil: Shahul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membatalkan kemasukan tanpa visa pelancong China dan India bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19, malah mampu mengawal jumlah kegiatan jenayah yang didalangi oleh kedua-dua warganegara berkenaan yang menjadikan Malaysia sebagai ‘markas’.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tindakan kerajaan merupakan keputusan bijak kerana lambakan kemasukan pelancong dari dua negara tersebut sebahagiannya didapati tiada rekod keluar.

Katanya, kumpulan itu dikategorikan sebagai ‘pelancong palsu’ yang akan tinggal lebih masa dengan melakukan pelbagai kegiatan haram yang akhirnya memberi kesan buruk terhadap rakyat negara ini.“China adalah satu negara mempunyai pelbagai jenis perniagaan termasuk yang disebut sebagai ekonomi hitam, pelacuran serta perjudian dalam talian. Begitu juga India, mereka ini ada yang tidak keluar sehingga tinggal lebih masa dengan melakukan kegiatan tidak sah termasuk perniagaan.

“Memang kita mahukan pelancong untuk membantu memberi hasil kepada negara, namun kita perlu mengambil kira kelakuan mereka ini yang akhirnya akan menyusahkan rakyat sendiri.

“Jadi perlu dapatkan pelancong yang tulen barulah memberi impak baik bukannya mengganggu gugat ekonomi dan keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shahul berkata, kerajaan wajar menggunakan kesempatan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini untuk mengkaji semula proses kelulusan visa membabitkan negara-negara lain yang mempunyai rekod kegiatan jenayah membimbangkan.

Katanya, ia termasuk warganegara luar yang berselindung di sebalik visa pelajar, antaranya dari Afrika yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan kegiatan jenayah.

“Apa yang dilaksanakan kerajaan bukan satu bentuk sekatan tetapi kaedah kawalan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik menerusi satu tapisan awal sebelum melalui tapisan di pintu masuk negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!