Kerapu hampir 100kg masuk 'perangkap' bubu gergasi

Bahiyuddin bersama seekor kerapu kertang bersaiz gergasi yang berjaya ditangkap menggunakan bubu bersaiz besar pada jarak 45 batu nautika dari perairan Dungun. - Foto Ihsan Bahiyuddin Awang Harun
Bahiyuddin bersama seekor kerapu kertang bersaiz gergasi yang berjaya ditangkap menggunakan bubu bersaiz besar pada jarak 45 batu nautika dari perairan Dungun. - Foto Ihsan Bahiyuddin Awang Harun
A
A
A

DUNGUN - Seekor kerapu kertang seberat hampir 100 kilogram (kg) berjaya ditangkap seorang nelayan dari Kampung Seberang Pintasan, di sini menggunakan bubu bersaiz gergasi yang dihasilkannya pada Khamis.

Bahiyuddin Awang Harun, 35, berkata, beliau tidak menyangka bubu sebesar 1.82 meter lebar dan 2.43 meter panjang yang ditahan lebih seminggu pada jarak kira-kira 45 batu nautika dari perairan Dungun itu dimasuki ikan berkenaan.

Katanya, bubu berkenaan dinaikkan jam 4 petang pada Khamis.

"Bubu bersaiz besar ini saya turunkan ke laut sejak lebih seminggu iaitu pada 16 Februari lalu. Tak sangka pula mengena seekor ikan kerapu bersaiz besar.

"Sepanjang 19 tahun jadi nelayan ini kali pertama saya dapat ikan kerapu bersaiz besar begini sebelum ini pernah dapat ikan yu seberat 100kg," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, ikan yang dianggarkan berharga RM35 hingga RM50 sekilogram yang kebiasaannya dihidangkan di restoran itu dijual kepada peraih dengan harga RM2,100.

Bubu saiz gergasi dihasilkan Bahiyuddin sedia dilepaskan ke laut. - Foto Ihsan Bahiyuddin Awang Harun
Bubu saiz gergasi dihasilkan Bahiyuddin sedia dilepaskan ke laut. - Foto Ihsan Bahiyuddin Awang Harun

Dalam pada itu, katanya, setakat ini beliau telah menghasilkan enam bubu bersaiz besar sejak November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inisiatif menghasilkan bubu dilakukan kerana kesukaran mendapatkan ikan ekoran persaingan yang tinggi ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim tengkujuh hujung tahun lalu.

"Nelayan dahulu ramai yang buat bubu saiz besar, tetapi sekarang tidak ramai yang berani cuba kerana kebanyakan bubu yang ditahan hilang kerana masuk ke dalam pukat tunda.

"Saya berani tahan bubu besar ini kerana saya sudah mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memasang bubu yang tidak boleh dilalui pukat tunda," katanya.

Bahiyuddin berkata, bubu yang dihasilkan menggunakan kayu sungkai, rotan dan dawai itu turut mendapat tempahan, namun beliau menolak untuk menerima tempahan disebabkan kekangan masa.

"Setakat ini saya hanya mampu hasilkan bubu untuk kegunaan sendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!