Hendak simpan amende?

A
A
A

BARU-baru ini dalam Sinar Harian, beberapa orang bijak pandai yang dikatakan wakil pekerja dan pengguna menzahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang bakal dihadapi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kata bijak pandai tersebut: “Laporan KWSP menunjukkan dua juta pencarum tidak ada simpanan mencukupi. 42 peratus pula tidak ada simpanan purata melebihi RM5,000. Nanti kalau keluar RM4,900 tinggal RM100, lepas tu dah tak ada duit.”

Lebih kurang begitulah kata orang-orang bijak pandai itu yang pada pendapat saya memang ada asasnya. Cuma, yang berkata-berkata itu bukan orang-orang miskin melihatkan kepada kelibat gayanya. Semuanya orang hebat, ada pendapatan tetap dan simpanan yang mencukupi agaknya.

Selang beberapa hari, satu artikel disiarkan dalam Sinar Harian bertajuk ‘Jatuh miskin selepas bersara?’ Memang ia keadaan yang membimbangkan.

Kata pakar-pakar kajian kewangan dan ekonomi yang sentiasa prihatin dengan rakyat yang memang sedia susah - “Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak ada simpanan jangka panjang, apatah lagi jangka pendek.”

Kata pakar tersebut lagi: “Duit yang ada dalam KWSP itu pun tak cukup. 32 peratus pencarum dikenal pasti mempunyai RM5,000 dan ke bawah dalam akaun satu dan 10 peratus pencarum pula mempunyai antara RM5,000 hingga RM10,000 dalam akaun satu.”

Sekali lagi, saya berasakan keadaan itu memang kritikal. Kerajaan mungkin perlu melakukan sesuatu untuk menggalakkan rakyat jelata aktif menyimpan.

Untuk mendapat gambaran lebih jelas, maka saya ada membuat temu ramah dengan beberapa orang rakyat marhaen. Berikut adalah maklum balas yang saya terima daripada mereka.

Artikel Berkaitan:

Kata Encik Borhan: “Dah lama minta kerja tak dapat-dapat lagi. Nak minta kerja biasa pun susah, nak simpan apa?”

Kata Puan Mimi, seorang lepasan Ijazah Kedoktoran: “Dulu saya bekerja, bolehlah simpan duit sikit. Kemudian saya fikir nak dapat gaji tinggi, saya sambung belajar ambil sarjana. Lepas itu, saya ada minta nak jadi pensyarah tapi kata pihak universiti, sekarang mereka hendak yang ada Doktor Falsafah.”

Duit

“Saya sambung buat Doktor Falsafah pula, alhamdulillah ada bantuan MyBrain dan tamat dengan cemerlang.

Saya minta kerja semula sebagai pensyarah, pihak universiti kata mereka hendak yang ada terbitkan jurnal di jurnal antarabangsa dan berimpak tinggi. Tak boleh nak simpan duit lagilah.”

Encik Mat, seorang penolong jurutera: “Saya bukan tak nak simpan tapi tak cukup. Saya dah kerja hampir 20 tahun. Gaji pun tak naik. Naik pun sebab majikan terpaksa buat adjustment gaji bila kerajaan ubah tangga gaji minimum. Dapatlah rasa gaji naik.”

“Bonus? Mana ada? Tak pernah dapat bonus. Syarikat kecil kot. Kalau dapat bonus, boleh saya bayar hutang PTPTN dan simpan,” kata Encik Sabri sambil ketawa berdekah-dekah.

“Saya nak beli rumah pun tak lepas. Sewa rumah sekarang paling murah RM800. Isteri saya pula tak kerja. Anak tujuh orang. Barang keperluan mahal.

Nak bayar itu ini lagi. Nak simpan amendenya?” kata Encik Samad yang kemudian bertanya saya ada RM50 tak, hendak pinjam katanya.

Aktivis, Pak Din: “Depa ni tak faham. Paling penting keperluan asas hendaklah percuma. Rumah percuma untuk setiap keluarga, kalau tidak mahu percuma, buat sewa beli yang diuruskan pihak berkuasa tempatan.

Barulah rakyat tidak tertekan dan boleh simpan dengan jayanya. Jangan guna bank. Kalau guna bank ada riba. Kalau ada riba kena bayar lebih. Mana nak cukup.

“Silap-silap boleh muflis. Sistem pendidikan perlu percuma. Keperluan perubatan percuma. Anak yang baru lahir pula, kerajaan bukakan akaun untuk setiap bayi dan masukkan duit bulanan untuk keperluan bayi. Barulah ibu bapa boleh simpan untuk hari tua.”

Saya angguk-angguk sahaja kata Pak Din yang semakin bernas itu. Memang betul katanya, apabila sudah mencukupi segalanya barulah tidak memecah damar atau pagu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!