Asyraf pertahan kenyataan, enggan mohon maaf

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa beliau tidak pernah memetik nama sesiapa termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Katanya, beliau enggan memohon maaf kepada Maszlee dan bertegas mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

“Cuba semak balik saya punya kenyataan, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee), saya hanya beritahu soal kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat ini perlu ditarik balik dan perlu dipinda.

“Penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan berlaku zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sesi diskusi yang disiarkan di laman Facebook Pemuda UMNO Malaysia bertajuk ‘Buku Teks Sejarah Dimanipulasi - Komunis Pula Diagungkan?’ pada Jumaat.

Sebelum ini, Maszlee menuntut Ketua Pemuda UMNO memohon maaf dan membayar pampasan kerana memfitnahnya dalam isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Maszlee menuntut beliau mengemukakan permintaan maaf secara terbuka setelah KPM menjelaskan bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada tahun 2017 ketika kerajaan masih di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan fitnah: Maszlee hantar surat tuntutan kepada Asyraf Wajdi

Maszlee bidas Asyraf Wajdi isu buku teks Sejarah

Artikel Berkaitan:

Buku teks Sejarah Tingkatan Empat patuhi proses penerbitan: KPM

Bagaimanapun, Asyraf berkata, dakwaan beliau itu sebenarnya berdasarkan kelulusan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) pada 24 April 2018, kemudiannya perlu mendapat kelulusan Kabinet bagi membolehkan proses pencetakan.

Menurutnya, pada tarikh berkenaan, kerajaan BN telah membubarkan Parlimen dan jemaah Kabinet BN.

“Antara perkara yang menjadi pertikaian ataupun menjadi isu di peringkat Pemuda (UMNO) adalah apabila kita melihat ia berlaku di bawah kerajaan PH. Tapi ramai mengatakan Kementerian Pendidikan kata 24 April 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

"Persoalannya, kalau sudah diluluskan di DSKP pada 24 April, saya difahamkan biasanya Kabinet yang perlu meluluskan sebelum proses penulisan buku teks ini akan mula dilakukan dan akhirnya dicetak.

“KIta kena ingat percetakan buku teks untuk Sejarah Tingkatan Empat ini dibuat pada tahun 2019. Jadi, di antara April 2018 hingga 2019 proses penulisan itu berlaku bukan zaman kerajaan BN kerana Parlimen sudah terbubar, 24 April dan DSKP ini diluluskan sebagai asas untuk penulisan buku teks ini serta dicetak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!