Pejuang fail saman terhadap RoS

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

CHANGLUN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di ibu negara pada Isnin ini kerana tidak meluluskan pendaftaran parti tersebut.

Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, usaha tersebut merupakan langkah susulan berikutan jabatan berkenaan tidak memberikan maklum balas selepas rayuan penolakan pendaftaran dibuat mereka sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya mahu mempersoalkan sebab kelulusan tidak diberikan kepada Pejuang kerana parti tersebut sudah memenuhi semua perkara yang telah diminta.

"Saya akan mengetuai Jawatankuasa Penaja Pejuang ke Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin ini untuk memfailkan saman terhadap RoS.

"Peguam sudah dilantik dan semua sudah bersedia cuma dalam beberapa hari ini kita tidak sempat kerana banyak urusan perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya kepada media selepas program sumbangan rumah baharu daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu kepada pasangan warga emas, Nayan Arof dan Ramlah Hassan, 84 di Kampung Darat, Changlun pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, hak berpersatuan dijamin pada semua warganegara Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan menerusi artikel 10.

"Hak saya untuk bersama NGO atau menyertai mana-mana parti politik telah dijamin oleh artikel 10," katanya.

Sinar Harian pada 6 Februari lalu melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak perlu takut untuk meluluskan permohonan pendaftaran Pejuang selepas semua syarat-syarat yang telah diminta telah pun dipenuhi.

Artikel Berkaitan:

Amiruddin berkata, pihaknya bersedia memenuhi setiap panduan baharu oleh RoS selepas pendaftaran pertama telah ditolak pada 6 Januari lalu.

Menurutnya, rayuan sudah dikemukakan pada 8 Januari dan Pejuang berharap permohonan mereka diterima serta akan diberikan kelulusan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!