Vaksin Sinovac selamat, halal: Duta China
SEPANG - China pada Sabtu memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa vaksin keluaran negara itu selamat dan berkesan kerana kerajaannya sentiasa memastikan syarikat vaksin China menjalankan penyelidikan dan pembangunan vaksin dengan mematuhi undang-undang saintifik dan peraturan berkaitan.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, fasa tiga ujian klinikal vaksin Sinovac Covid-19 telah dijalankan di banyak negara dengan lebih 36 juta dos vaksin Sinovac telah diberikan di China dan luar negara.
"Data dan hasilnya membuktikan bahawa vaksin Sinovac adalah selamat dan berkesan. Selain itu, vaksin itu diputuskan sebagai halal oleh pihak berkuasa Indonesia.
"Saya harap maklumat ini dapat memberi lebih keyakinan kepada rakyat Malaysia yang akan disuntik dengan vaksin Sinovac," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan bekalan vaksin Sinovac di sini.
Turut hadir Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Ouyang berkata, China dijangka membekalkann 14 juta dos vaksin Sinovac seperti yang dipersetujui dalam perjanjian dengan Pharmaniaga dalam setahun.
Beliau berkata, bekalan kumpulan vaksin Sinovac seterusnya akan tiba secara berperingkat mulai Mac selepas penghantaran vaksin pertama hari ini.
"Hari ini, ketibaan kumpulan pertama vaksin secara pukal mencerminkan kerjasama vaksin China-Malaysia dan menunjukkan persahabatan yang erat antara rakyat China dan rakyat Malaysia.
"Sejak tercetusnya pandemik Covid-19 lebih setahun yang lalu, kerajaan dan rakyat China dan Malaysia telah bekerjasama dalam memerangi pandemik tersebut dan memulihkan ekonomi, memberikan sokongan padu dan bantuan ikhlas antara satu sama lain, yang menunjukkan persahabatan erat antara kedua-dua negara kita yang saling menyokong antara satu sama lain semasa waktu susah dan senang," katanya.
Beliau berkata, ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac hari ini secara pukal akan diproses menjadi lebih 300,000 dos vaksin manakala 100,000 dos tambahan vaksin Sinovac yang siap digunakan untuk tujuan kecemasan, akan tiba sebaik sahaja pendaftaran diluluskan.
Ouyang berkata, China menyokong dan mengambil peranan aktif dalam usaha global memerangi pandemik itu dan akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain untuk memperkukuh kerjasama dalam vaksin, pencegahan dan kawalan pandemik serta pemulihan ekonomi.
"Dengan menyediakan bekalan perubatan, berkongsi pengalaman pencegahan pandemik dan menggalakkan kerjasama vaksin, China telah mempromosikan konsep masyarakat dengan masa depan bersama bagi seluruh manusia.
“Walaupun permintaan vaksin dalam negeri sangat besar, kami masih memenuhi komitmen Presiden Xi Jinping untuk menjadikan vaksin China sebagai produk dunia, melakukan yang terbaik untuk membantu masyarakat antarabangsa dan bekerjasama dengan negara-negara yang relevan mengenai vaksin melalui pelbagai cara.
"Matlamat kami adalah untuk menjadikan vaksin dapat diakses dan digunakan seberapa banyak orang di semua negara, dan benar-benar menjadi "vaksin untuk rakyat ", katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!