Warisan sedia sepakat dengan pembangkang hadapi PRU-15
KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) bersedia untuk bersepakat sekali lagi dengan blok pembangkang lain untuk membentuk kerajaan jika diadakan pilihan raya akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rundingan akan diadakan dan muafakat akan dilakukan untuk kepentingan rakyat.
"Pakatan itu memerlukan kita untuk menyatakan bahawa kekuatan ada di situ. Kita baru ada pilihan raya yang lalu, saya tak masuk Pakatan Harapan (PH) bukan lagi Plus di situ, kita cuma rakan dari segi pembangkang.
"Tetapi dari segi contohnya di Parlimen, belanjawan kita sepakat dalam konteks usul, pendekatan dengan rakan-rakan PH, itu cukup jelas dari segi landasan untuk menghadapi pilihan raya," katanya mengulas berhubung kesepakatan antara blok pembangkang dalam satu bual bicara secara langsung di Facebook pada Jumaat.
Bagaimanapun beliau berkata, perlu dilakukan penambahbaikan, bekerja dengan kuat dan rancang dengan baik untuk menghadapi pilihan raya.
"InsyaALLAH kita tunggu nanti bagaimana keadaannya. Kita boleh berunding dan saya seorang pemimpin yang bukan tidak ada tolak ansur, bukan tiada muafakat. Kita mampu dan paling utama kepentingan rakyat dan hala tuju kita.
"Kita tidak mahu perjuangan ini kelihatan dominan sangat, dari segi pentadbiran terutama berhadapan pilihan raya," katanya.
Mengulas berhubung persediaan Warisan untuk menghadapi pilihan raya, beliau berkata mereka sentiasa buat persediaan.
"Struktur Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada pilihan raya lalu masih ada dan tidak berubah.
"Kita baru sahaja ada pilihan raya, PDM memang ada dari dulu strukturnya. Tidak berubah di peringkat bahagian ada 25 bahagian, kita ada 25 parlimen.
"Struktur itu masih berjalan daripada awal ada pengarah pilihan raya, timbalannya yang koordinat dari segi komunikasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!