Tabika Perpaduan secara bersemuka bermula Isnin

Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu.
Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memastikan pengoperasian Tabika Perpaduan tertakluk kepada pematuhan ketat garis panduan pembukaan semula prasekolah, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau mengingatkan guru supaya sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lepas mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19, akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Tahun Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!