Pesara lemas bot terbalik
KUALA NERUS - Seorang pesara kerajaan yang baru pulang dari menangkap ikan, lemas selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik ketika sedang menaikkan hasil ikan di Pantai Teluk Ketapang pagi Sabtu.
Mangsa, Mohd Mahmud, 72, sempat melambai beberapa kali meminta tolong menggunakan dayung sampan dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu.
Adik mangsa, Harun Mamud, 62, berkata, ketika itu dia sedang menunggu abangnya, di pesisir pantai dan bertindak mencari bot di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan mangsa yang disedari tiba-tiba meminta tolong.
“Saya nampak dia angkat pukat sambil mengambil ikan yang berada di dalamnya. Tapi, lama kelamaan nampak perahu dia tenggelam sedikit demi sedikit.
“Saya yang ketika itu berada di darat panik melihat keadaan abang dan berlari mendapatkan bot berhampiran kerana mahu menyelamatkannya," katanya.
Menurut Harun, dia mengambil masa 10 minit untuk menyelamatkan abangnya tetapi dilihat sudah tidak bernyawa ketika diangkat ke ke darat.
Difahamkan, mangsa turun ke laut untuk menaikkan pukat kira-kira jam 7.30 pagi sebelum kembali ke darat dengan hasil tangkapan.
Bagaimanapun, dia kembali semula ke laut sekali untuk melihat hasil tangkapan yang lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!