Projek jiwa murni jimatkan 50 peratus kos kerajaan negeri
LENGGONG - Kerja baik pulih dua surau dan dua masjid di daerah Hulu Perak yang digerakkan menerusi Projek Jiwa Murni menyaksikan penjimatan lebih 50 peratus daripada kos sebenar yang perlu ditanggung kerajaan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan empat projek secara usaha sama dengan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) itu hanya menggunakan peruntukan minimum sekitar RM200,000 sahaja.
Menurutnya, peruntukan yang dikeluarkan kerajaan digunakan bagi tujuan penyediaan bahan binaan seperti simen, pasir dan batu bata, sementara tenaga kerja sepenuhnya daripada anggota tentera.
"Biasanya kalau diberikan kepada kontraktor, upah yang diambil sama dengan harga barang. Jika harga barang RM200,000 maka bayarannya pun RM200,000.
"Tetapi melalui projek ini, kita sudah menjimatkan hampir separuh daripada kos itu. Kerajaan negeri hanya menyediakan peruntukan untuk barang-barang keperluan sahaja," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Projek Jiwa Murni di Surau Islahiyah di pekan Lenggong di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib.
Saarani berkata, dua surau yang terlibat dalam projek berkenaan ialah Surau Islahiyah dan Surau Kampung Lata Papan di Lenggong, manakala Masjid Tanjung Rambai dan Masjid Tanjung Kala di Gerik dengan kos keseluruhan RM218,000.
Menurutnya, seramai 43 anggota terlibat dalam keseluruhan gerak kerja berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi.
"Saya sangat berpuas hati dengan cara kerja yang dibuat. Anggota tentera kita sangat berkemahiran boleh melakukan pendawaian elektrik, menukang kayu, plaster simen dan sebagainya.
"Kerajaan negeri berterima kasih atas inisiatif yang dilakukan ini dan kesungguhan anggota dalam melaksanakan amanah diberikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!