Sanggup bayar banyak, tapi tak cukup ilmu
SHAH ALAM – Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah mendedahkan wujud golongan berada yang sanggup menyediakan peruntukan besar asalkan boleh menunaikan haji, namun didapati tidak cukup ilmu untuk menyempurnakan rukun ibadah tersebut.
Beliau menyifatkan, situasi itu dibimbangi berlaku disebabkan wujudnya unsur ‘cuci wang’.
“Saya lihat ada jutawan yang pergi menunaikan haji dalam tempoh 10 hari. Mereka ini akan membayar sebanyak mana yang boleh asalkan sampai ke Makkah. Jadi kita tidak tahu dia pergi kerana apa.
"Jika pergi untuk beribadah, kenapa pergi dalam tempoh 10 hari? Tidak seperti jemaah lain," katanya pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-94 bertajuk ‘Cuci Duit Pergi Umrah' di Kumpulan Karangkraf.
Program itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail yang turut menampilkan Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman.
Qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan surah Al-Imran ayat 135 - 136.
Md Daud berkata, dalam tempoh 40 tahun pengalaman menguruskan jemaah haji dan umrah, banyak kes seumpama itu yang dikongsikan oleh guru-guru agama yang mengajar golongan tersebut yang dikatakan agak sukar menerima nasihat.
“Kita bimbang, mana (sumber) duit dia dapat untuk pergi, kemudian bila pergi (ibadah) tidak berapa lengkap sebab ilmu tidak banyak,” katanya.
Tambah beliau, satu lagi peristiwa membabitkan jemaah haji yang kehilangan tunai RM10,000 ketika tawaf selepas ilmu yang didapati tidak betul.
“Dia dipesan untuk niatkan duit yang dibawa itu sebagai ‘ibu duit’ agar memperoleh keuntungan berlipat ganda namun akhirnya duit itu hilang dipercayai dicuri.
“Itu sebab dia pergi dengan tidak ada ilmu dan mungkin dalam keadaan duit yang tidak ‘bertapis’. Wallahualam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!