Bomba ambil masa 45 jam padam kebakaran hutan
IPOH - Kebakaran hutan di kawasan seluas hampir 16 hektar di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di sini sejak dua hari lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada Sabtu.
Operasi pemadaman mengambil masa lebih kurang 45 jam itu dilakukan dengan bantuan anggota dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 15 orang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, kerja-kerja pemadaman berdepan kesulitan kerana keadaan muka bumi yang tinggi dan curam menyukarkan akses masuk jentera bomba ke lokasi.
"Anggota yang terlibat terpaksa mendaki untuk ke lokasi kebakaran dengan membawa bersama peralatan 'fire beater’ dan ‘jet shooter’ bagi tujuan operasi pemadaman.
"Sumber bekalan air sangat kurang dan anggota hanya menggunakan aliran air bukit, ditambah keadaan kawasan yang dikelilingi banyak pokok resam, menyebabkan api merebak dengan cepat," katanya.
Menurutnya, laporan kebakaran itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai pada jam 5 petang Khamis dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2 petang Sabtu.
"Rondaan dan pemantauan akan terus dilakukan di kawasan itu kerana dikhuatiri kebakaran akan berulang.
"Operasi ini turut dibantu Jabatan Perhutanan Perak dalam menilai situasi semasa hutan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan perbuatan individu yang menggunakan sumber nyalaan api.
Justeru, beliau berkata, orang ramai terutama yang menjalankan aktiviti berkebun di dalam hutan diingatkan untuk tidak menggunakan sebarang sumber nyalaan bagi mengelak kebakaran lebih besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!