Realisme citra perjuangan sosial
MESKIPUN berbagai aliran sastera tumbuh, berkembang dan berubah dalam penulisan kreatif Melayu, tetapi minat terhadap realisme masih dominan. Sejak zaman awal perkembangan sastera moden 1920-an, ia dimulai dengan realisme, dan hatta terkini pun masih diguna pakai. Hanya tahun 1970-an, aliran absurdisme mula hadir, mengurangkan kuasa realisme.
Aliran sebenarnya adalah pegangan dan kepercayaan dalam berkarya. Juga memperlihat kecenderungan, trend, fesyen dan stail, yang menentukan corak, struktur dan falsafah pengkayaan. Dalam beragama ia disebut sebagai mazhab. Perkembangannya mengikut takdir sejarah sastera, bermula dengan klasisisme, romantisisme, realisme, absurdisme, surealisme, eksistensialisme, dan realisme magis.
Dalam suatu zaman, lazimnya seorang pengarang akan memilih hanya satu aliran. Bagaimanapun, pengarang boleh berubah aliran, menurut kecenderungan karya dan peralihan zaman.
Aliran wujud setua usia sastera itu sendiri. Plato dalam Republic, buku teori sastera pertama dunia, menyatakan bahawa sastera adalah sebuah mimesis, iaitu hasil peniruan atau gambaran daripada kenyataan.
Sebuah karya sastera merupakan penyesuaian dari alam semesta sekali gus sebagai model kenyataan. Plato menggesa pengarang berdampingan dengan masyarakatnya, supaya subjeknya selari dengan zamannya.
Aristotle kemudiannya dengan The Poetics, menyokong konsep mimesis, tetapi menambah dengan unsur imitation, representation and reflection. Memang manusia makhluk yang suka meniru. Namun, mereka lebih tertarik kepada yang bersifat hedonisme dan keseronokan lahiriah. Konsep mimesis itu sesungguhnya adalah janin aliran realisme. Aliran ini agak mudah penggarapannya. Bahannya dapat dikutip daripada kehidupan seharian, strukturnya sederhana, watak-watak adalah manusia biasa, bahasanya ringkas, sinkof dan pantas, serta latarnya melukiskan keterkinian dengan citra desa atau bandar.
Romantisisme
Realisme menentang romantisisme sebelumnya, yang kaya dengan unsur emosi dan sentimental, pencitraan yang berlebihan dengan kecantikan dan penuh melodramatik, bagaikan dunia kancah segala mimpi. Dengan menjelmakan dunia serba benar dan jujur, realisme lebih menarik minat sebahagian besar masyarakat moden.
Akal Barat menemui realisme hasil penyelidikan dan pemikiran zaman Renaisans, John Locke (1632-1704) dengan empirisme, pengalaman asas ilmu, dan Isaac Newton (1642-1727) memperteguhkannya, penandaan terhadap bertakhtanya aliran rasionalisme. Abad ke-18 Barat memasuki Zaman Pencerahan, Aufklarung oleh Voltaire (1694-1778) menyatakan Barat sudah akil baligh, Immanuel Kant (1724-1804) manusia mencapai pendewasaannya dan kemuncaknya Auguste Comte (1798-1857) dengan positivisme, iaitu ilmu sebagai fakta yang objektif, yang menjadi akar tunjang realisme.
Georg Lukacs ialah orang yang bertanggungjawab terhadap konsep realisme, bahawa sastera adalah cermin masyarakat. Bayangkan, seseorang sedang berdiri di hadapan sebuah cermin. Apa yang tertera di permukaan cermin itu?
Pertamanya, apa yang berada di dalam cermin persis seseorang yang berdiri itu. Tidak ada kurang tambahnya, justeru demikian kesetiaan cermin terhadap seseorang. Kedua, apa yang terpampang ialah bahagian hadapan seseorang itu. Dan ketiga, bayangan di cermin itu akan mengikut sahaja rentak dan pergerakan seseorang yang berdiri itu.Realisme melahirkan zaman moden. Sebagai reaksi hubungannya diciptakan genre novel. Georg Lukacs, The Historical Novel (1969) struktur primanya ialah mencerminkan realiti yang lengkap, hidup dan dinamik. Realisme juga adalah katalis kelahiran teori sosiologi sastera, teori sastera Marxisme dan teori studi budaya.
Perlu disedari juga, realisme memiliki falsafah dan hakikat alirannya. Pertama tidak hanya sebagai cermin, tetapi seharusnya karya yang menggambarkan citra yang terbenam. Maksudnya, dalam kenyataan luarannya masyarakatnya adalah tenang, damai dan rukun; tetapi dalamannya penuh dengan kegelapan dan mungkar, terlindung atau terhijab. Justeru itu aliran ini, menghasratkan pengarang, membongkar segala rahsia itu.
Kognitif
Kedua, masyarakat Melayu dicitrakan kurang bertenaga dalam bidang pengurusan ekonomi. Sentiasa bertualang dan tewas apabila bertarung dengan bangsa yang sudah mentradisi dan mendominasi bidang ini. Sebuah karya cuba menggambarkan segolongan Melayu, berjaya membina dunia korporat dan konglomeratnya. Meskipun pada realitinya sebagai sebuah imaginasi, tetapi bukannya utopia, keberangkaliannya tidak mustahil. Tujuannya adalah untuk memberi semangat kepada perniagaan orang-orang Melayu. Inilah yang dinamakan sebagai “realisme yang membangun”.
Ketiga, khusus dalam bidang kognitif, falsafah dan tamadun. Implikasi daripada cermin masyarakat, menyemarakkan pembinaan peradaban manusia. Inilah dinamakan sebagai “realisme intelektual”.
Zaman keemasan aliran realisme dalam sastera Melayu ialah dekad 1950-an hingga 1990-an. Cerpen Keris Mas, puisi Tongkat Warrant, novel A. Samad Said dan drama Shaharom Husain sebagai pelopor kepada kebangkitanya secara total dan vital. Disambung pula oleh cerpen Shahnon Ahmad, puisi Kemala, novel Abdullah Husain dan drama Kala Dewata. Malah, beratus-ratus lagi realis Malaysia, yang mendokong falsafah realisme.
Pengarang realis perlu mendewasakan dirinya, dan mematangkannya bagi menghasilkan realisme yang lebih komprehensif dan sofistikated.
Dengan itu, suara rakyat dapat ditemui dalam karya. Bukannya hanya patung-patung yang berdiri di hadapan cermin. Realisme menentang penindasan dan sadisme, menghormati perjuangan dan kebangkitan rakyat membina masyarakat yang progresif. Realisme mencintai teks-teks yang merindui perubahan dan memantapkan manusia sebagai warga dunia.
Realisme sudah diterima sebagai alat sinematik, de fecto, fotokopi dan refleksi kepada gerakan-gerakan yang bercorak kemasyarakatan, politik, ekonomi dan pendidikan. Tanggungjawab pengarang realis, bukan sekadar mencetak-ulang apa yang terjadi, tetapi memberikannya penafsiran baru, yang bersifat diskursif atau wacana, sesuai dengan peranannya sebagai jurubicara masyarakat dan peguam yang akan mempertahankan yang hak dan kebenaran.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!