i-Sinar beri kelegaan buat pencarum
IPOH - Pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai ‘bonus’ besar kepada pencarum untuk melangsaikan hutang yang tertunggak akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Ejen jualan hartanah, Rubiah Nordin, 35, berkata, perbelanjaannya kini lebih teratur kerana wang caruman yang dikeluarkannya itu digunakan untuk membayar hutang pinjaman peribadinya.
“Setiap bulan saya perlu membayar hampir RM1,000 nilai pinjaman peribadi dan lain-lain. Pinjaman harus dilangsaikan walaupun kerajaan ada menyediakan pelbagai kemudahan termasuk moratorium.
“Sejak mohon i-Sinar, ia memberi sedikit kelegaan apabila wang yang dikeluarkan daripada caruman ini dapat menampung bayaran hutang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia turut menyimpan sebahagian wang yang diterimanya itu ke dalam Tabung Haji untuk masa depan.
“Kelulusan pengeluaran akaun satu caruman ini bukanlah peluang untuk berbelanja sakan.
“Saya menyimpan sedikit daripada komisen jualan kini untuk perbelanjaan keluarga walaupun masih menerima i-Sinar,” katanya.
Sementara itu, kerani, Zainorhuda Sulaiman, 32, berkata, sebelum kemudahan i-Sinar diumumkan, dia bergelut untuk membayar hutang bulanan seperti kereta selepas diberhentikan kerja April tahun lalu.
“Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya diberhentikan kerja sekaligus saya tiada pendapatan dan mengharapkan suami sebagai penyara tunggal.
“Bulan lalu permohonan saya diluluskan dan duit itu digunakan untuk melunaskan hutang-hutang yang tertunggak. Bersyukur sangat duit itu banyak membantu,” katanya.
Menurutnya, baki wang tersebut turut digunakan untuk membeli sedikit emas dan memasukkan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai satu pelaburan.
“Jika sebelum ini teragak-agak mahu beli emas tetapi apabila ada sedikit wang, saya beli emas dan tambah ASB sebagai pelaburan kecil-kecilan.
“Ketika kaedah pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), saya gunakan untuk membeli peranti untuk anak saya. i-Sinar banyak membantu keluarga saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!