Utamakan dana tabung kecemasan
SHAH ALAM - Menyediakan dana tabung kecemasan harus menjadi keutamaan bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan wang daripada akaun satu mereka.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, langkah itu merupakan kaedah terbaik untuk mereka membelanjakan wang yang diperoleh menerusi skim i-Sinar tersebut.
Katanya, selepas membuat dana tabung kecemasan, baki wang selebihnya boleh digunakan untuk pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan.
"Kalau kita tengok pada tahun 2018, kajian Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa 52 peratus rakyat Malaysia menyatakan sukar untuk menyediakan minimum RM1,000 tabungan untuk kecemasan.
"Itu (kajian) pada tahun 2018. Sekarang ini kita di tahun 2021, maknanya makin ramai orang tidak mempunyai apa-apa (tabung kecemasan) kalau berlaku kecemasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, orang ramai perlu sedar bahawa tabung kecemasan adalah perkara yang perlu diberi keutamaan sebagai 'talian hayat' sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua wang yang dikeluarkan itu digunakan sebagai tabung kecemasan, sebaliknya sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk keperluan lain.
"Bagi mereka yang ingin menggunakan wang tersebut untuk melabur sama ada beli saham, pelaburan emas atau untuk membeli peralatan elektronik sekalipun tidak salah, asalkan perbelanjaan itu bermanfaat.
"Kalau berhasrat untuk melabur, pastikan pelaburan yang dibuat itu menawarkan keuntungan tetapi bukan bentuk skim cepat kaya," katanya.
Jelasnya, menyertai skim pelaburan cepat kaya merupakan perkara yang perlu dijauhi semua pihak.
"Kunci utama kalau kita hendak melabur adalah kesabaran, kalau kita tamak dan inginkan keuntungan segera, maka akan terjebaklah ke dalam skim cepat kaya," katanya.
Katanya, orang ramai yang berhasrat untuk melabur juga dinasihatkan untuk mempelajari ilmu yang betul agar pelaburan yang dibuat nanti akan mendatangkan keuntungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!