Pesakit Covid-19 terbabit kemalangan hanya alami cedera ringan
SEPANG - Lapan penumpang di dalam bas membawa pesakit Covid-19 yang terlibat kemalangan selepas merempuh Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu hanya mengalami cedera ringan.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kesemua mereka meneruskan perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 menggunakan bas lain yang turut membawa pesakit Covid-19 dari Perak.
Menurutnya, mereka yang mengalami cedera ringan itu menerima rawatan di pusat kuarantin tersebut.
"Pemandu bas berusia 41 tahun yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, seramai 40 pesakit Covid-19 dari Perak menaiki 10 bas melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Katanya lagi, kemalangan berlaku sekitar jam 2 petang di Plaza Tol UPM Serdang melibatkan salah satu bas berkenaan.
Difahamkan, bas terbabit membawa pesakit Kluster Changkat Jong, Perak dan berlepas jam 10 pagi Sabtu sebelum dijadualkan sepatutnya tiba di MAEPS Serdang, pada jam 1 tengah hari.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pesakit Covid-19 rempuh plaza tol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!