'UMNO putus hubungan dengan 6 bekas Ahli Parlimen'

Mohamad Hassan - Foto Bernama
Mohamad Hassan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mengesahkan tiada lagi hubungan antara parti itu dengan enam bekas wakil rakyatnya yang menyertai Bersatu hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan keenam-enam individu itu hak mereka selepas tidak lagi bersama UMNO.

“Seperti yang kita maklum, keenam-enam individu yang diterima masuk ke dalam Bersatu hari ini telah pun mengumumkan yang mereka keluar dari UMNO lebih awal sebelum ini.

“UMNO menganggap mereka tidak ada lagi apa jua pertalian dan hubungan dengan parti. Pemilihan mereka untuk menyertai mana-mana pihak pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, sebentar tadi.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO itu di mana masing-masing menerima kad keahlian pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mereka Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah).

Julai lalu, Mas Ermiyati mengumumkan keluar Umno dan pada Disember keenam-enam Ahli Parlimen itu pula membuat pengumuman sama.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata perkembangan itu tidak merencatkan kelangsungan dan agenda perjuangan partinya itu.

Artikel Berkaitan:

“UMNO dan saya hanya ingin sekali lagi merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam UMNO sebelum ini. Selamat maju jaya dalam perjalanan politik mereka selepas ini bersama Bersatu.

“UMNO akan terus memfokuskan kepada agenda pemulihan parti yang kini sedang mendapat momentum dan sokongan terbaik daripada semua pihak, insha-ALLAH,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!