Bolehkah laporan perisikan AS dipercayai?
WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Jumaat lalu mendedahkan isi kandungan laporan perisikan AS yang menyatakan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman atau lebih dikenali dengan nama jolokan MBS terlibat dalam pembunuhan wartawan dari negara itu, Jamal Khashoggi.
MBS didakwa meluluskan operasi membunuh Khashoggi, 59, di Pejabat Konsulat negara beraja itu di Istanbul, Turki ketika beliau mahu mendapatkan dokumen yang diperlukan bagi membolehkannya berkahwin lagi dipercayai buat kali keempat dengan tunangnya, Hatice Cengiz juga dari Turki.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi telah menangkap 21 orang dan lima pegawai kanan termasuk Timbalan Ketua Perisikan negara itu, Ahmad Asiri manakala seorang pembantu MBS, Saud al-Qathani dipecat selepas kejadian pembunuhan kejam yang dipercayai berlaku pada 2 Oktober 2018.
Pada tahun lalu juga, 11 orang ditangkap dan dibicarakan secara tertutup berhubung kejadian itu.
Khashoggi, 59, didakwa dibunuh oleh satu skuad pembunuh sebelum anggota badan kolumnis akhbar Washington Post dan pengkritik dasar-dasar MBS itu dikerat-kerat dan sehingga kini mayatnya gagal ditemui oleh pihak berkuasa Turki.
Lima daripada mereka yang dihukum mati digantikan dengan hukuman penjara 20 tahun selepas keluarga Khashoggi memaafkan mereka dan lima yang lain dihukum penjara tetapi Asiri dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Arab Saudi pada Jumaat lalu kemudian menolak sepenuhnya laporan perisikan AS itu.
Pada Disember tahun lalu, portal berita Daily Sabah pernah melaporkan para peguam Putera Mahkota itu pernah menafikan beliau mengarahkan satu skuad pembunuh melakukan pembunuhan ke atas Khashoggi.
Namun, kini timbul persoalan sama ada laporan perisikan AS itu boleh dipercayai atau tidak kerana kewibawaannya telah dipertikaikan oleh banyak pihak.
Ini kerana pada awal Februari lalu, AFP melaporkan seorang anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Peter Daszak membuat ciapan di Twitter dengan meminta orang ramai jangan terlalu bergantung maklumat dengan pihak perisikan AS.
Daszak yang merupakan warga AS juga berkata, pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump telah mengeluarkan banyak maklumat yang salah tentang Covid-19.
Pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan mengulangi teori kontroversi dengan menyatakan kemungkinan pandemik itu tersebar disebabkan oleh kebocoran sebuah makmal di Wuhan, China. Pasukan WHO kemudian melakukan siasatan di Wuhan dan mendapati Covid-19 sebenarnya tidak berasal dari makmal tersebut.
Kewibawaan perisikan AS juga dipertikaikan oleh Trump sendiri yang pada tahun 2016 pernah menyatakan bahawa pihak perisikan Amerika pernah membuat keputusan terburuk kerana mempercayai dakwaan senjata pemusnah besar-besaran terdapat di Iraq semasa pemerintahan Saddam Hussein sebagai Presiden negara itu pada tahun 2003.
Menurut portal berita The Hill, Presiden AS ke-43, George W. Bush mempercayai bahawa kerajaan Saddam berjaya menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran walaupun sebenarnya ia tidak wujud di negara tersebut.
Portal berita itu melaporkan bahawa, Trump tidak mempercayai maklumat yang dikeluarkan daripada agensi-agensi perisikan AS.
Pada tahun 2019, portal berita NBC melaporkan Presiden Amerika ke-45 itu berkata, beliau tidak selalu bersetuju dengan penilaian yang dibuat oleh pegawai-pegawai perisikan Amerika terhadap ancaman yang dihadapi Washington di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, portal berita BBC melaporkan, Putera Mohammed, 35, itu yang juga bekas Menteri Pertahanan dan menjadi Putera Mahkota pada tahun 2017 bukannya pilihan utama AS untuk menjadi Raja Arab Saudi bagi menggantikan ayahandanya, Raja Salman bin Abdulaziz, 85.
Sebaliknya, portal berita itu menyatakan Putera Mohammed Nayef, 61, dikenali sebagai MBN sepatutnya bakal menjadi Arab Saudi dan bukan MBS yang juga sepupunya.
MBN yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri pertama kini ditahan ekoran dituduh melakukan rasuah selain mempunyai hubungan rapat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) selain pernah menjadi Menteri Dalam Negeri serta berjaya menghancurkan kumpulan Al-Qaeda di negaranya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!