Dividen KWSP bonus buat pencarum
SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kadar dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2020 merupakan satu bonus kepada pencarum.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kadar dividen 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional yang diberikan oleh KWSP itu merupakan berita gembira kepada semua pencarum.
“Ia adalah amat baik kerana kadar yang diumumkan itu dilihat lebih daripada apa yang diberikan oleh bank lain pada masa ini. Ini kerana kebanyakan bank memberikan kurang dua peratus (dividen) untuk simpanan tetap.
“Ini sebenarnya lebih sebagai bonus kepada pencarum KWSP,” kataya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Shamsuddin berkata, kadar dividen diumumkan dana persaraan itu seharusnya memberikan keyakinan kepada pekerja yang mencarum untuk mengekalkan simpanan mereka dalam KWSP.
“Ini sepatutnya menggalakkan pekerja untuk menyimpan wang mereka dan tidak mengeluarkan jika tidak perlu. KWSP telah membuktikan bahawa dalam keadaan yang amat mencabar pun pelaburan mereka berupaya memberikan dividen sedemikian,” katanya.
Shamsuddin bagaimanapun berkata, pihaknya berharap agar KWSP mempertingkatkan lagi prestasi pengurusan bagi portfolio Simpanan Syariah kumpulan tersebut yang mana kadar dividennya didapati sedikit kurang berbanding Simpanan Konvensional.
“Kita berharap agar portfolio syariah itu dilihat semula dan ditadbir urus dengan lebih baik supaya ia dapat memberikan pulangan lebih kepada pencarum yang telah memilih untuk menukar akaun mereka kepada akaun syariah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!