Mohd Fazrul belum ditemui
KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak, Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Sungai Ular di sini petang Sabtu disambung seawal jam 7 pagi pada Ahad.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Pahang, Kapten Maririm Mohamad Suhairy Hussain berkata, keluasan kawasan pencarian meliputi 80 batu nautika dengan jarak kira-kira satu batu nautika dari pantai.
Menurutnya, pencarian membabitkan 107 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Jabatan Amal dengan dibantu penduduk setempat.
"Sehingga jam 10.30 pagi ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan melibatkan aset dari bomba, Maritim Malaysia dan TUDM dan bot nelayan.
"Keadaan cuaca agak baik dan kita jangka mangsa masih berada dalam kawasan pencarian," katanya ketika ditemui di lokasi pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Sabtu, dua kanak-kanak perempuan, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13 bersama rakan, Fitrah Dhia Zahraa' Zaidi, 9, ditemui lemas manakala Mohd Fazrul Hakimi masih hilang.
Seorang mangsa yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa', Fitrah Dhia Zulaikha,13 berjaya diselamatkan.
Semua mangsa yang tinggal di kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular tidak jauh dari lokasi datang ke pantai berkenaan bersama keluarga untuk mandi-manda.
Mayat dua mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 6 petang sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
Saksi kejadian yang juga pengadu dalam kes itu, Badrol Hisham Mohamad berkata, ketika kejadian dia berada di kawasan kejadian bersama beberapa rakan.
Menurutnya, dia mendapat maklumat daripada ketua kampung berhubung kejadian lalu segera ke pantai untuk membantu.
"Ketika saya sampai, dua mangsa yang lemas telah diselamatkan pengunjung pantai dan salah seorang yang terselamat diangkat ke atas bot.
"Seorang lagi mangsa yang di bawa ke pantai untuk bantuan pernafasan namun gagal diselamatkan," kata Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Sungai Ular itu ketika ditemui di lokasi.
Badrol Hisham berkata, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan sebelum pasukan penyelamat tiba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!